JOHOR BAHRU: Pengerusi Barisan Nasional (BN) Johor, Datuk Hasni Mohammad menegaskan mereka tidak akan memandang remeh kuasa mengundi golongan muda dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor akan datang.
Jelas beliau, hal itu kerana PRN Johor akan menyaksikan seramai lebih 150,000 pengundi berusia antara 18 hingga 20 tahun layak untuk mengundi buat pertama kali dalam sejarah.
“Kita tidak boleh memandang ringan kewujudan dan kehadiran pengundi muda dalam PRN kali ini, jadi kita akan susun langkah untuk mendapatkan sokongan daripada pengundi muda.
“Johor adalah pilihan raya pertama yang melibatkan pengundi bawah 21 tahun seramai lebih 150,000 pengundi berusia 18 hingga 20 tahun,” katanya dalam sidang akhbar Penutup Program Taklimat Pilihan Raya MIC Johor di Kompleks Tan Sri Mohamed Rahmat, di sini hari ini.
Tambah Hasni, BN telah menggerakkan jentera untuk mendekati golongan muda berkenaan dan pihaknya yakin akan berupaya untuk mendapat sokongan mereka dalam PRN akan datang.
“Seperti parti lain, kita perlu susun gerak kerja untuk mendapatkan sokongan dikalangan pengundi muda jadi kita telah menggerakkan jentera diketuai orang muda selain menjalin kerjasama bersama pertubuhan bukan kerajaan (NGO) untuk mendekati golongan berkenaan,” jelasnya.
Sementara itu, Hasni turut memberitahu manifesto bukanlah faktor utama yang menentukan kemenangan dalam pilihan raya tetapi sebaliknya manfaat yang dapat diberi kepada rakyat adalah lebih utama.
“Dalam Pilihan Raya Umum ke-14 lalu, kita tahu rakyat dijanjikan macam-macam oleh manifesto tetapi akhirnya yang dijanjikan itu diakui sesetengah pemimpin tidak dapat dilaksanakan.
“BN sebaliknya, manifesto atau janji dibuat adalah satu ‘responsible outline’ yang dibentuk supaya rakyat faham hala tuju kerajaan dan bagaimana kerajaan negeri akan bela masa depan rakyat.
“Jadi, saya tidak rasa manifesto adalah kunci utama untuk menang pilihan raya lagi kerana apa yang penting adalah hala tuju kerajaan negeri yang hendak dibawakan sesebuah parti tersebut,” jelasnya.










