'Bila nak bina jambatan kami?' - Utusan Malaysia

‘Bila nak bina jambatan kami?’

PENDUDUK Orang Asli menaiki rakit buluhmenyeberangi Sungai Perias di Pos Tohoi, Gua Musang, Kelantan. - UTUSAN/AIMUNI TUAN LAH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GUA MUSANG: Kira-kira 5,000 Orang Asli di Pos Simpor dan Pos Gob di sini, sudah sebulan bergadai nyawa menaiki rakit buluh untuk menyeberangi Sungai Perias selepas jambatan penghubung di situ runtuh dihanyutkan arus deras.

Jambatan Sungai Perias sepanjang lebih 100 meter di Pos Tohoi adalah satu-satunya penghubung jalan darat di situ, namun, runtuh dihanyutkan arus sungai ketika bah melanda negeri ini akhir tahun lalu.

Tinjauan Utusan Malaysia semalam mendapati, penduduk berbaris menunggu giliran untuk menaiki rakit buluh bersama motosikal masing-masing seawal pukul 7 pagi supaya dapat keluar melakukan urusan di bandar ini.

Seorang penduduk dari Kampung Jader di Pos Simpor, Jasmi Abus, 42, berkata, rakit itu dibina secara bergotong-royong oleh masyarakat Orang Asli suku kaum Temiar menggunakan buluh, kayu hutan dan tong plastik.

“Dalam tempoh sebulan ini, sudah dua motosikal penduduk terjatuh dalam Sungai Perias.

“Anak-anak kami juga masih tidak dapat ke sekolah kerana pihak kontraktor pengangkutan tidak dapat masuk ke kampung untuk mengambil mereka seperti biasa,” katanya ketika ditemui di Pos Tohoi, semalam.

Bulan lalu, Kementerian Pembangunan Luar Bandar dilaporkan dalam proses memasang jambatan jenis Bailey untuk kemudahan penduduk kampung yang terputus hubungan di kawasan itu.

Timbalan Menterinya, Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad berkata, Angkatan Tentera Malaysia (ATM) sudah bersetuju membantu membina jambatan tersebut secepat mungkin.

Sementara itu, Penghulu Pos Tohoi, Zainal Chali, 51, berkata, pembinaan jambatan baharu dijanjikan kerajaan perlu disegerakan bagi kemudahan lebih 5,000 penduduk Orang Asli di sekitar kawasan itu.

Katanya, setiap hari mereka terpaksa mengharungi detik-detik cemas menaiki rakit buluh sehingga mengabaikan aspek keselamatan nyawa, semata-mata mahu keluar ke bandar untuk pelbagai urusan.

“Kami tertanya-tanya bilakah jambatan Bailey yang dijanjikan kerajaan akan dibina kerana sudah sebulan kami bergadai nyawa menaiki rakit buluh,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya