Bersatu tidak terjejas kewujudan PBM - Utusan Malaysia

Bersatu tidak terjejas kewujudan PBM

WAN Saiful Wan Jan menyerahkan sumbangan kepada penduduk pada Majlis PTPTN Prihatin di Masjid Al-Ihsan, Kampung Changkat Setol, Changlun, Kubang Pasu hari ini. - UTUSAN/MOHD. RAFIE AZIMI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUBANG PASU: Jumlah keahlian Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) tidak terjejas atau berkurang meskipun beberapa ahlinya sebelum ini bertindak keluar parti bagi menyertai Parti Bangsa Malaysia (PBM).

Malah menurut Ketua Penerangan Bersatu, Datuk Wan Saiful Wan Jan, jumlah keahlian parti itu kebelakangan ini terus bertambah hingga mencecah 600,000 orang di seluruh negara.

“Berdasarkan data yang kita ada, keahlian Bersatu tak berkurang akibat penubuhan PBM sebaliknya jumlah ahli kita kian meningkat.  

“Setakat Perhimpunan Agung Tahunan Kali ke-4 Bersatu pada bulan lalu, jumlah ahli kami mencecah 600,000 dan itu jelas menunjukkan bahawa keadaan Bersatu sama sekali tidak terjejas,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar pada Majlis Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) Prihatin di Masjid Al-Ihsan, Kampung Changkat Setol, Changlun dekat sini hari ini.

Pada majlis itu, beliau yang juga Pengerusi PTPTN, menyampaikan sumbangan kepada beberapa individu di kampung tersebut selain melaksanakan kempen penabungan PTPTN di situ.

Mengulas mengenai cakap-cakap mengaitkan beberapa pemimpin Bersatu yang dikatakan akan meninggalkan parti bagi memimpin PBM, Wan Saiful berkata, perkara itu sehingga kini masih menjadi spekulasi walaupun lebih setahun ditimbulkan.

“Bagi saya adalah lebih baik kita tunggu perkara itu benar-benar berlaku sebelum merangka perancangan untuk bergerak ke depan. Tak perlu bertindak terburu-buru dalam hal ini.

“Realitinya PBM sudah ditubuhkan dan memang benar ada beberapa bekas ahli Bersatu bersama parti itu. Kita ucapkan selamat datang kepada mereka dalam arena politik nasional dan harap ada persaingan sihat untuk manfaat rakyat Malaysia secara keseluruhan,” katanya.

Ditanya mengenai khabar mengatakan akan berlaku perubahan Kabinet yang membawa kepada kewujudan jawatan Timbalan Perdana Menteri, Wan Saiful berkata, perkara itu terletak di bawah bidang kuasa Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

“Jadi eloklah kita serahkan kepada Perdana Menteri untuk bincang dengan sesiapa saja yang sepatutnya beliau berbincang.

“Dalam Bersatu dan Perikatan Nasional (PN) memang ada tokoh-tokoh sesuai tetapi isu ini berada di peringkat Perdana Menteri, jadi eloknya kita serahkan kepada beliau membuat pertimbangan,” katanya.  -UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya