SHAH ALAM: Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah mahu gejala rasuah dibanteras oleh kerajaan dengan mengenakan hukuman lebih tegas supaya menjadi gerun dan takut.
Menerusi kenyataan dimuat naik dalam Facebook (FB) Selangor Royal Office, baginda menyeru umat Islam memahami dan menghayati intipati khutbah Jumaat yang dibacakan khatib di masjid seluruh negeri ini semalam.
“Memetik antara isi penting khutbah itu, baginda bertitah rasuah amat berbahaya dan bala besar selain memudaratkan masyarakat, orang Islam dan meletakkan pengurusan serta pentadbiran menjadi tidak stabil.
“Rasuah berlaku dalam semua urusan termasuk kehakiman, tanah, percukaian, zakat malah perkara yang melibatkan agama dan orang agama.
“Oleh itu, Allah mengharamkan rasuah dan melaknat pelakunya. Seseorang tidak boleh memberi rasuah dan seseorang pegawai juga tidak mengambilnya bahkan wajib berjaga-jaga darinya,” katanya hari ini.
Jelas kenyataan itu, amalan rasuah turut melibatkan orang agama biarpun mengetahui hukumnya haram dan berdosa besar.
“Namun, habuan dunia itu mengasyikkan dan menghilangkan sikap amanah, jujur dan keikhlasan yang tertanam dalam sanubari.
“Orang yang diharap dapat menjaga maruah diri dan agama bahkan sentiasa menyeru masyarakat dalam melakukan kebaikan boleh hanyut dan melanggar larangan Allah SWT,” katanya.
Justeru, Sultan Sharafuddin bersetuju dengan saranan dalam khutbah itu supaya rasuah mesti dibanteras dengan mengenakan hukuman lebih tegas.
“Dalam menangani kes rasuah, pemerintah perlu lebih fokus kepada langkah pencegahan sebelum berlakunya kes jenayah tersebut.
“Allah menceritakan dalam al-Quran bahawa ada seorang alim mengakui kebenaran Muhammad SAW namun syaitan menggoda sehingga tergelincir dari agama benar kerana rakus mengikut hawa nafsu, kekuasaan dan kekayaan,” tambahnya.- UTUSAN ONLINE










