Banjir: Yayasan Restu sumbang 25,000 al-Quran baharu - Utusan Malaysia

Banjir: Yayasan Restu sumbang 25,000 al-Quran baharu

MOHD. Taufiq Izham Ismail (kiri) bersama Mustafa Othman menerima sumbangan naskhah al-Quran yang diserahkan oleh Mastor Mohd. Ariff di Surau At-Taqwa Taman Sri Muda, Seksyen 25, Shah Alam, Selangor.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Yayasan Restu menyumbang sebanyak 25,000 naskah al-Quran baharu kepada masjid, surau dan mangsa yang terjejas banjir di seluruh negara.

Kesemua kitab suci itu dihasilkan sendiri yayasan berkenaan yang juga antara pengeluar dan pencetak al-Quran terbesar dunia.

Timbalan Pengurus Besar Yayasan Restu, Mohd. Taufiq Izham Ismail berkata, pihaknya memahami musibah menimpa ribuan mangsa banjir yang kemusnahan harta benda termasuk al-Quran.

Katanya, semua mangsa termasuk masjid dan surau di lokasi terjejas didapati sangat memerlukan kitab suci itu ketika ini.

“Justeru, kita menggunakan saluran sedia ada termasuk dengan kerjasama Jabatan Agama Islam negeri untuk menyalurkan sumbangan.

“Sehingga kini, kita sudah menyumbang 25,000 naskah al-Quran di seluruh negara terutama Selangor dan Pahang,” katanya ketika ditemui pada program misi bantuan banjir di Surau At-Taqwa Taman Sri Muda, di sini hari ini.

Yang hadir sama Timbalan Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (Pasukan Gerakan Khas) Bukit Aman, Datuk Mastor Mohd. Ariff; Timbalan Komander PSP, Asisten Komisioner Rosman Kasman dan Pengerusi surau itu, Mustafa Othman.

Pada program itu, Yayasan Restu menyerahkan sebanyak 1,000 naskah al-Quran kepada surau dan mangsa banjir di taman tersebut.

Tambah Mohd. Taufiq, pihaknya bersama Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) akan menyalurkan sumbangan 50,000 al-Quran di seluruh negeri ini kelak.

“Selain itu, Yayasan Restu sudah menyerahkan sebanyak 1,300 naskah al-Quran yang rosak kepada JAIS untuk dilupuskan,” katanya.

Pada 5 Januari lalu, JAIS memaklumkan sebanyak 33 masjid, 90 surau dan 56 Sekolah Rendah Agama (SRA) serta 35 maahad tahfiz swasta mengalami kerosakan akibat banjir besar yang melanda Selangor. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN