fbpx

22 Mei 2022, 4:23 pm

  TERKINI

Banjir: Adakan sidang khas DUN Selangor jawab pertikaian

NOH Omar (depan, tiga dari kiri) bergambar dengan penerima sumbangan Tahun Baharu Cina di Pasir Penambang, Tanjong Karang, Kuala Selangor, Selangor, hari ini. - FOTO/ABDUL RAZAK IDRIS
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA SELANGOR: Sidang khas Dewan undangan Negeri (DUN) perlu diadakan bagi menjawab persoalan berhubung masalah tuding menuding mengenai bencana banjir yang melanda Selangor bulan lalu.

Selain itu, sidang tersebut juga boleh membincangkan dakwaan PKR yang menganggap mereka lebih cekap menguruskan bencana banjir berbanding agensi Persekutuan seperti Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Menurut Ahli Parlimen Tanjong Karang, Tan Sri Noh Omar, dalam peringkat pasca banjir, sepatutnya semua pihak mencari jalan penyelesaian bukannya tuding menuding jari mencari pihak yang bersalah.

“Bencana banjir yang berlaku melibatkan beberapa negeri termasuk Selangor dan melibatkan semua orang tidak mengira parti politik. Mengapa timbul isu salah menyalahkan MKN oleh pemimpin PKR.

“Saya cabar sekali lagi Kerajaan Selangor untuk mengadakan sidang DUN Khas sebagaimana yang dilakukan Dewan Rakyat minggu lalu,” katanya.

Terdahulu PKR Selangor mengeluarkan kenyataan menyelar Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mendakwa beberapa wakil rakyat pembangkang ‘hilang’ ketika banjir melanda pada 17 Disember lalu dan mengibaratkannya seperti ‘meludah ke langit’.

Ketua Penerangan Keadilan Selangor, Halimey Abu Bakar berkata, kritikan Ismail Sabri terhadap Kerajaan Negeri Selangor dalam mengurus bencana banjir juga menunjukkan beliau seorang yang tidak layak menjadi Perdana Menteri.

Beliau turut mempersoalkan aset kerajaan Pusat yang bernilai berbilion ringgit tidak digerakkan sejak dari awal banjir melanda melanda Selangor malah turut mempertikai peranan Noh Omar sebagai Pengerusi MKN Selangor sejak November 2021.

Bagaimanapun, Noh menganggap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seri Setia itu tidak faham dengan kedudukan agensi Persekutuan tersebut di dalam sesuatu kes bencana alam.

“ADUN itu tidak reti bahasa, sepatutnya dengar keseluruhan penjelasan Perdana Menteri dan menteri di Dewan Rakyat minggu lalu. Jangan cari salah sesiapa, ambil kira kepentingan rakyat pada masa depan.

“Menyentuh tentang MKN, ada dua jawatankuasa. Satu di bawah saya yang menjaga isu keselamatan dan satu lagi jawatankuasa di bawah Arahan MKN 20 bencana alam yang mana semua negeri faham tentang peranan mereka,” katanya.

Beliau menambah, jika pemimpin PKR merasakan mereka mampu menyelesaikan masalah banjir, sidang DUN khas perlu diadakan untuk semua pemimpin di negeri ini melahirkan buah fikiran mereka. – UTUSAN

POPULAR

KOSMO! TERKINI