Ayuh datang ke stadium Titiwangsa - Hafizul - Utusan Malaysia

Ayuh datang ke stadium Titiwangsa – Hafizul

SEMUA pasukan mengharapkan penyokong-penyokong hadir ke stadium bagi memberi sokongan kepada pasukan masing-masing.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Perlawanan antara Negeri Sembilan Antlers dan Kelantan Warriors dalam aksi Liga Premier kejohanan Emas Anuar Liga Sepak Takraw (STL) 2021/22 di Stadium Titiwangsa dijangka berlangsung sengit, hari ini, dengan barisan pemain berpengalaman dipertaruhkan kedua-dua pasukan.

Apit kanan Negeri Sembilan, Muhammad Hafizul Hayazi Adnan mendambakan kehadiran penyokong hadir ke stadium sekaligus menghangatkan lagi pertembungan tersebut.

Pemain berusia 26 tahun itu berkata, kehadiran penyokong sedikit sebanyak membantu pasukannya beraksi lebih bersemangat lebih-lebih lagi menentang pencabar seperti Kelantan yang mempunyai peminat yang ramai dan rajin hadir ke stadium.

“Kali terakhir STL ada penonton pada 2019, masa itu memang gegak gempita dengan sorakan penyokong. Saya tidak nafikan kehadiran penyokong mampu membantu menghangatkan suasana perlawanan.

“Kelantan Warriors memiliki penyokong fanatik yang sentiasa bersorak untuk mereka sepanjang aksi minggu lepas. Saya tidak nafikan 20 ke 30 peratus permainan pasukan turut dipengaruhi sokongan padu yang diberikan peminat yang hadir ke stadium,” katanya kepada Utusan Malaysia, semalam.

Negeri Sembilan Antlers kini mengumpul dua mata hasil daripada satu kemenangan setelah menundukkan Selangor Pistons dalam aksi kedua, selepas dikejutkan skuad muda Penang Panthers dalam pertemuan sulung STL, minggu lalu.

Menurut Hafizul, menang atau kalah semuanya bergantung kepada para pemain, tetapi sewaktu lawan sedang mendahului pada ketika itulah pentingnya peranan penyokong.

“Cara penyokong ‘psiko’ pasukan lawan memang sedikit sebanyak mengganggu, tetapi sebagai pemain profesional saya dan rakan-rakan sudah terbiasa dengan situasi tersebut.

“Tetapi permainan pasti akan lebih menarik jika peminat kedua-dua pasukan sama kuat bersorak untuk menyokong pasukan masing-masing, jadi, saya seru kepada penyokong Negeri Sembilan datanglah beramai-ramai ke stadium, ayuh, kita bagi gegar Stadium Titiwangsa, esok (hari ini),” ujarnya.

Berkenaan persediaan Negeri Sembilan menentang Kelantan, Hafizul memberitahu, dia dan rakan sepasukannya perlu segera memperbaiki serangan dan pertahanan mereka menjelang aksi tersebut.

“Kami perlu berhati-hati menentang Kelantan yang diperkuatkan pemain berpengalaman seperti bekas tekong kebangsaan, Sobey (Muhammad Zulkifli Abd Razak) dan Wan Naim (Izani Wan Mohd Noor), pertahanan kami perlu bagus, serangan juga kena dipertajam,” tegasnya.

Negeri Sembilan Antlers turut mempertaruhkan beberapa pemain berpengalaman seperti Hafizul, Mohd Khairul Zaman Hamir Akhbar, bekas tekong Kelantan Warrios, Yus Hanif Rosli dan Zulfendi Sumari selaku ketua pasukan.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya