SEREMBAN: Kepemimpinan parti-parti Melayu dan Islam di negara ini didesak untuk menyuarakan ketegasan dalam isu pemberian pinjaman tanpa jaminan sebanyak RM2.51 bilion kepada Genting Hong Kong oleh tiga buah bank di negara ini.
Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, isu berkenaan tidak harus didiamkan dan pemimpin parti-parti Melayu dan Islam di negara ini perlu mempunyai keberanian untuk mempersoalkannya.
“Saya rasa patut ada keberanian daripada parti Melayu dan parti Islam terutamanya, takkan soal bilion ringgit diberikan pinjaman kepada syarikat perjudian, rugi pulak tu, kita mahu diam lagi. Ini harus diberikan penjelasan oleh parti-parti ini,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri sesi townhall sempena Majlis Perhimpunan Agung Tahunan Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) Kali Ke-16, di sini hari ini.
Anwar yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) memaklumkan, desakan beliau sebelum ini kepada kerajaan supaya perkara itu diberikan penjelasan belum mendapat maklum balas sehingga kini.
“Siapa yang luluskan, apa prosesnya, mengapa ia didiamkan dan apa alasan bank di negara ini boleh memberikan pinjaman unsecured kepada syarikat induk perjudian di Hong Kong yang sekarang ini rugi.
“Apa yang berlaku sekarang? Bagaimana kesan kepada sistem perbankan negara? Ini soal-soal masih belum ada maklum balas daripada kerajaan,” kata beliau lagi. – UTUSAN










