Angkut dadah RM27.3 juta guna 4WD

Angkut dadah RM27.3 juta guna 4WD

HAZANI Ghazali (dua dari kanan) menunjukkan bungkusan berisi dadah dalam sidang akhbar di IPD Pasir Mas, Kelantan, hari ini. - FOTO/YATIMIN ABDULLAH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PASIR MAS: Batalion 9 Pasukan Gerakan Am (PGA) Kuantan berjaya merampas dadah jenis ganja, syabu dan pil kuda bernilai RM27.3 juta yang dibawa seorang lelaki dalam sebuah pacuan empat roda (4WD) di Kampung Padang Embun, di sini semalam.

Rampasan pada pukul 11.45 pagi itu membabitkan bungkusan berisi 300 kilogram dadah jenis syabu, 1.6 juta pil yaba dan 200 kilogram ganja yang diangkut menggunakan 4WD jenis Toyota Hilux.

Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA) Datuk Hazani Ghazali berkata, 4WD tersebut pada mulanya dipandu seorang lelaki dalam keadaan mencurigakan di persimpangan lampu isyarat Kampung Lemal, di sini.

Kata beliau, selepas diarahkan berhenti, pemandu kenderaan tersebut bertindak sebaliknya apabila memecut laju dan cuba melarikan diri.

“Semasa mengejar suspek di atas Jambatan Sultan Ismail Petra, anggota PGA telah melepaskan beberapa das tembakan ke arah tayar bertujuan menghentikan pacuan empat roda itu.

“Bagaimanapun, kenderaan tersebut terbabas lalu terjunam ke dalam kawasan tali air di Kampung Padang Embun,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pasir Mas, di sini hari ini.

Hadir sama, Ketua Polis Kelantan, Datuk Shafien Mamat; Komander Briged Tenggara PGA, Senior Asisten Komisioner Hasan Basri Ahmad Safar; Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Kelantan, Asisten Komisioner Sheik Azhar Sheik Omar dan Ketua Polis Daerah Pasir Mas, Asisten Komisioner Mohd. Nasaruddin M. Nasir.

Hazani memberitahu, selepas kenderaan dipandunya terjunam ke dalam air, suspek keluar dan berjaya melarikan diri dengan menaiki sebuah kereta jenis Volkswagen Golf Gti dipandu seorang lelaki lain.

Katanya, pemeriksaan ke atas Toyota Hilux ditinggalkan suspek membawa kepada penemuan bungkusan yang mengandungi kesemua dadah terbabit.

“Susulan itu, kita sedang mengesan dua lelaki tersebut untuk membantu siasatan berhubung rampasan dadah ini,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.