Anak penggal kepala ibu: Polis lengkap siasatan, rujuk pendakwa raya - Utusan Malaysia

Anak penggal kepala ibu: Polis lengkap siasatan, rujuk pendakwa raya

LOKASI kejadian wanita maut dipenggal anak lelakinya sendiri di rumahnya di Kampung Baru Pasir Penambang di Kuala Selangor, Selangor.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA SELANGOR: Polis sudah melengkapkan siasatan kes seorang wanita yang maut dipenggal anak lelakinya di rumah mereka di Kampung Baru Pasir Penambang di sini, Sabtu lalu.

Ketua Polis Daerah Kuala Selangor, Superintenden Ramli Kasa berkata, pihaknya akan merujuk kepada pejabat Timbalan Pendakwa Raya (TPR) untuk tindakan pendakwaan.

Katanya, polis sudah merekodkan keterangan ahli keluarga termasuk suami mangsa bagi membantu siasatan.

“Kertas siasatan kes itu sudah lengkap dan akan diserahkan kepada TPR bagi tindakan lanjut. Setakat ini, reman ke atas suspek lelaki berkenaan masih kekal sehingga Sabtu ini,” katanya ketika dihubungi di sini.

Tambah Ramli, pihaknya tidak menolak kemungkinan akan melanjutkan tempoh reman itu.

“Ia terpulang sepenuhnya kepada arahan lanjut pejabat TPR. Kita menjangkakan pendakwaan suspek di mahkamah akan dilaksanakan pada minggu depan,” katanya.

Ahad lalu, Utusan Malaysia melaporkan tragedi memilukan apabila kepala mangsa berusia 56 tahun itu ditemukan dalam rumah berkenaan selepas dipenggal anak lelakinya dengan parang.

Kejadian kira-kira pukul 5 petang itu disedari apabila salah seorang anak mangsa gagal menghubunginya dan segera pergi ke rumah berkenaan sebelum melihat keadaan lokasi yang berlumuran darah.

Suspek berusia 28 tahun yang melarikan diri berjaya diberkas polis dengan bantuan penduduk kampung di kawasan belukar belakang rumah mangsa.

Ketua Polis Selangor, Datuk Arjunaidi Mohamed memaklumkan tindakan kejam penganggur itu berpunca tidak dapat mendapat wang bagi membeli dadah.

Suami mangsa berusia 61 tahun memaafkan perbuatan suspek yang juga darah dagingnya sendiri dan keluarga masih terkejut dengan tragedi itu.

Jenazah Allahyarham selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Permatang di sini, kira-kira pukul 5.20 petang Isnin lalu.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN