SHAH ALAM: Keputusan kebenaran menggali semula kubur jasad Allahyarham Muhammad Amir Rusyaidi Muhamad Zaidi bagi proses bedah siasat dan inkues untuk mengenal pasti punca sebenar kematian mahasiswa Universiti Teknologi Mara (UiTM) itu akan diketahui pada 20 November depan.
Hakim Mahkamah Tinggi, Roszianayati Ahmad memutuskan demikian dalam prosiding pengurusan kes, hari ini, selepas permohonan dibuat oleh ahli keluarga pegawai kadet Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (Palapes) UiTM itu, melalui peguam Tun Laila Tun Rafaee dan Puteri Ainaa Amiera selaku pemohon.
Dua responden dinamakan iaitu Kementerian Dalam Negeri yang diwakili Peguam Kanan Persekutuan, Azroul Hisham Azulan dan Nurul Huda Mohamad Salehuddin serta Peguam Persekutuan, Nur Syahidah Mohamad Kamil selaku responden pertama.
Sementara responden kedua iaitu Peguam Negara, Tan Sri Mohd. Dusuki Mokhtar diwakili Pengarah Pendakwaan Selangor, Datin Kalmizah Salleh dan Timbalan Pendakwa Raya, Rosnee Radzuan.
Dalam prosiding itu, Tun Laila mengemukakan lima permohonan perintah mahkamah iaitu menggali semula kubur Allahyarham Muhammad Amir Rusyaidi, 25, dan mengarahkan bedah siasat dijalankan oleh bahagian forensik Hospital Kuala Lumpur (HK).
Tiga lagi perintah iaitu, laporan penuh bedah siasat dikeluarkan dalam tempoh sebulan selepas proses tersebut dilakukan, mengarahkan satu pasukan khas polis dari Bukit Aman untuk mengambil alih siasatan serta suatu inkues dijalankan bagi mendapatkan punca kematian sebenar.
“Saya memohon supaya kes ini disegerakan kerana ia merupakan kes yang mendapat perhatian umum (public interest),” katanya.
Sementara itu, kedua-dua wakil responden, Kalmizah dan Azroul Hisham memohon mahkamah membenarkan tempoh antara dua hingga empat minggu bagi pihak responden mengemukakan afidavit jawapan dan hujahan bertulis terhadap permohonan yang dikemukakan.
Malah, Kalmizah turut memohon suatu tarikh bagi hujahan lisan dalam tempoh-tempoh tersebut.
“Kami memohon tempoh tersebut memandangkan kes ini mendapat perhatian umum dan memerlukan masa untuk menyediakan afidavit jawapan dengan teliti,” ujarnya.
Hakim Roszianayati kemudian menetapkan responden mengemukakan afidavit jawapan dan hujahan bertulis masing-masing pada 10 Oktober dan 7 November depan.
Malah, beliau turut mengarahkan pemohon menghantar afidavit balasan kepada mahkamah pada 24 Oktober sebelum menetapkan 20 November sebagai tarikh keputusan permohonan.
Pada 29 Ogos, bapa Allahyarham Muhammad Amir Rusyaidi, Muhamad Zaidi Abdul Rahman memulakan prosiding dengan memfailkan notis usul bagi menyiasat semula punca kematian anak sulungnya itu.
Dalam pemfailan tersebut, selain notis usul, pemohon mengemukakan satu afidavit permohonan dan dua afidavit sokongan serta sijil perakuan segera bagi menyegerakan siasatan. Pada 2 September lalu, pemohon turut mengemukakan afidavit tambahan.
Utusan Malaysia pada 21 Ogos lalu melaporkan keluarga arwah yang meninggal dunia pada 13 November 2024 membuat permohonan demikian selepas mempercayai terdapat kecuaian tidak dijawab.
Malah, terdapat kenyataan yang bercanggah dikeluarkan oleh Ketua Polis Selangor pada Januari lalu yang mengatakan bedah siasat terhadap allahyarham sudah dilakukan serta mengklasifikasikan insiden sebagai kematian mengejut (SDR), sedangkan proses tersebut didakwa tidak pernah dilakukan.
Pada 28 November tahun lalu, kematian Muhammad Amir Rusyaidi dilaporkan berpunca daripada strok haba dan kegagalan fungsi pelbagai organ.
Mahasiswa tahun pertama jurusan Kejuruteraan Mekatronik UiTM Shah Alam itu dimasukkan ke hospital pada 10 November selepas rebah ketika menjalani latihan fizikal tidak berjadual serta penderaan secara fizikal termasuk dipijak di bahagian dada serta dipaksa melakukan aksi melompat seperti haiwan oleh jurulatihnya.
Jenazah allahyarham dikebumikan dekat Tanah Perkuburan Taman Firdaus, Kampung Sungai Lang, di Banting, Kuala Langat. – UTUSAN










