Zelensky mahu jumpa saya? Dia boleh datang ke Moscow - Putin - Utusan Malaysia

Zelensky mahu jumpa saya? Dia boleh datang ke Moscow – Putin

VLADIMIR PUTIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BEIJING: Psresiden Russia, Vladimir Putin bersedia bertemu Presiden Ukraine, Volodymyr Zelensky, namun memberi amaran keras jika tiada jalan damai dicapai, Moscow tidak teragak-agak meneruskan operasi ketenteraan.

“Donald (Trump) minta pertemuan itu. Saya jawab: ‘Ya, boleh. Biar Zelensky datang ke Moscow’,” kata Putin semasa sidang media mengakhiri lawatan rasminya ke China, semalam.

Bagaimanapun, beliau menegaskan pertemuan tersebut hanya akan berlaku jika dilihat wajar dan menimbulkan persoalan sama ada Zelensky masih mempunyai legitimasi sebagai pemimpin, selain menyeru agar pilihan raya diadakan di Ukraine.

Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, yang kini berusaha menjadi orang tengah dalam rundingan damai, sebelum ini mencadangkan pertemuan antara kedua-dua pemimpin selepas beliau sendiri bertemu Putin di Alaska pada pertengahan Ogos.

Namun, setakat ini tiada kemajuan signifikan dicapai. Canselor Jerman, Friedrich Merz, mencadangkan Geneva sebagai lokasi neutral untuk pertemuan itu.

Putin sebaliknya mahu pertemuan diadakan di Moscow dan turut mendesak agar undang-undang darurat di Ukraine ditamatkan serta referendum diadakan di wilayah-wilayah yang didudukinya.

Sejak konflik meletus lebih tiga tahun lalu, Russia berulang kali menegaskan sebarang perjanjian damai mesti melibatkan pengiktirafan ke atas empat wilayah yang dianeksasi pada 2022.

Sebaliknya, Ukraine tetap bertegas tidak akan menyerahkan walau seinci pun tanahnya.

Menteri Luar Ukraine, Andrii Sybiha, mendedahkan terdapat tujuh negara yang bersedia menjadi tuan rumah pertemuan Putin-Zelensky dan Zelenskyy sedia hadir bila-bila masa.

Namun beliau menuduh Putin “mempermainkan semua pihak” dengan cadangan yang mustahil diterima.

“Hanya tekanan antarabangsa yang lebih kuat boleh memaksa Rusia benar-benar serius tentang proses damai,” tulis Sybiha dalam satu kenyataan.

Putin pula menegaskan “akal sihat” perlu digunakan dalam mencari penyelesaian, namun jika gagal, “semua matlamat Rusia akan diselesaikan melalui cara ketenteraan.”

Putin berada di Beijing untuk menghadiri Sidang Kemuncak Pertubuhan Kerjasama Shanghai, bersama pemimpin lain termasuk Perdana Menteri India, Narendra Modi.

Dalam lawatan itu, Russia dan China menandatangani lebih 20 perjanjian kerjasama, meliputi bidang tenaga, kecerdasan buatan (AI) dan projek saluran paip gas baharu.

Dalam perkembangan berkaitan, Presiden Trump mengumumkan beliau akan menghubungi Putin dalam beberapa hari lagi untuk membincangkan hal ehwal konflik Ukraine.

“Dia tahu pendirian saya. Jika kita tidak puas hati, anda akan lihat tindak balasnya,” kata Trump.

Putin turut memuji Utusan Khas AS, Steve Witkoff, kerana menyampaikan pandangan Russia secara tepat kepada pihak pentadbiran Trump selepas sidang kemuncak di Alaska.

Sementara itu, Zelensky merancang mengadakan perbincangan dengan Trump pada Khamis bagi mendesak sekatan baharu terhadap Rusia.

Dalam lawatan ke Copenhagen, Zelensky menyatakan Ukraine menerima “isyarat positif” dari Washington mengenai sokongan berterusan terhadap negaranya.

Menurut sumber Rumah Putih, perbualan antara Trump dan Zelensky dijangka memberi tumpuan kepada kemungkinan pertemuan langsung antara dua pemimpin itu, walaupun Putin kekal mahu ia berlangsung di Moscow.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×