PUTRAJAYA: Angkatan Muda Keadilan (AMK) menyerahkan memorandum kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) agar Ketua Pesuruhjayanya, Tan Sri Azam Baki direhatkan dari terus memikul tanggungjawab itu.
Memorandum berbentuk plakad besar bertulis ‘Undur Azam Baki’ itu disuarakan AMK berkaitan dakwaan pembabitan Azam dalam pemilikan saham yang didakwa milik adiknya.
Ketua AMK, Akmal Nasrullah Mohd Nasir berkata, memorandum diserahkan secara berkonvoi bagi menyampaikan pandangan rakyat Malaysia dan anak muda kerana ia penting untuk mempertahankan integriti serta menyelamatkan kedudukan SPRM.
Menurutnya, AMK akan memberi tekanan kepada kerajaan agar Azam dipecat atau diberi cuti rehat sehingga kes siasatan selesai diadakan.
“Ini merupakan satu krisis jika sebelum ini negara berhadapan banjir besar, kini kita berhadapan krisis integriti membabitkan pembelian saham yang perlu ditangani segera,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Terdahulu, sebelum penyerahan memorandum berkenaan, sebanyak 50 kenderaan berkonvoi di jalan raya bermula dari Dataran Putrajaya ke Presint 2 dan berakhir di bangunan SPRM bagi menyerahkan memorandum.
Sebelum ini, pelbagai pihak mendesak isu pemilikan saham yang dikaitkan dengan Azam disiasat sebuah badan bebas demi menjaga kredibiliti SPRM sebagai institusi terpenting dalam negara.
Dalam perkembangan sama, AMK mahu kerajaan mempercepatkan agenda pembaharuan institusi lebih menyeluruh dengan meletakkan SPRM di bawah seliaan Parlimen dan dijadikan satu institusi bebas.
Akmal berkata, kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob bahawa beliau tidak boleh campur tangan dalam kes berkenaan menunjukkan seolah-olah beliau sudah mendengar laporan kes itu, namun tidak menunjukkan kesungguhan atau kerjasama dalam membuat tindakan.
Katanya, jika diteliti dari segi Akta SPRM 5 (3), kedudukan Ketua Pesuruhjaya boleh dipertahan atau kekal sehingga dibuat keputusan ditukar oleh Yang di-Pertuan Agong dengan nasihat Perdana Menteri.
“Ketua Pesuruhjaya SPRM yang ada pada hari ini adalah lantikan Perdana Menteri dan bukan dari Parlimen, sepatutnya Perdana Menteri beri tanggungjawab pindahkan kuasa kepada Parlimen,” katanya.










