AMK cadang VTL darat khas untuk pulang mengundi - Utusan Malaysia

AMK cadang VTL darat khas untuk pulang mengundi

AKMAL Nasrullah Mohd. Nasir ketika sidang akhbar selepas mempengerusikan Mesyuarat AMK Johor di Pejabat PKR Johor. - UTUSAN/RAJA JAAFAR ALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Angkatan Muda Keadilan (AMK) mencadangkan inisiatif Laluan Perjalanan Lengkap Vaksin (VTL) darat khas disediakan kepada kira-kira 200,000 penduduk Johor di Singapura bagi menunaikan tanggungjawab mereka mengundi dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

Ketua AMK, Akmal Nasrullah Mohd. Nasir berkata, kerajaan perlu mempertimbang perkara itu bagi memudahkan perjalanan pulang rakyat Johor di negara republik itu tidak disekat untuk balik mengundi.

“Jika dari segi logistik ia terlalu menekan kepada kedua-dua negara, AMK cadangkan supaya Pusat Mengundi Khas dibuka di republik itu bagi membolehkan rakyat Johor mengundi. Pusat itu boleh diselia Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dengan ejen parti politik dibenarkan memantau perjalanan pengundian dan perjalanan peti undi yang dibawa balik perlu dilakukan secara telus dan terbuka.

“Kerajaan dan SPR perlu memastikan hak semua rakyat untuk mengundi dihormati. Ia adalah kepentingan negara dan dijamin Perlembagaan,” katanya selepas mempengerusikan Mesyuarat AMK Johor di Pejabat PKR Johor di sini.

Dalam pada itu, Akmal Nasir memberitahu, AMK turut menyuarakan kebimbangan hak mengundi rakyat Johor yang bekerja dan belajar di kota singa itu benar-benar terjamin dan perjalanan pulang mereka untuk mengundi tidak dihalang.

Justeru, beliau menuntut kerajaan serta SPR bersikap adil dan telus dalam memastikan proses demokrasi membabitkan kumpulan sasar itu dapat dilaksanakan sebaik mungkin.

“Kami risau jika mandat rakyat dicuri dengan pengundi termasuk rakyat Johor bekerja dan pelajar institusi pengajian tinggi di republik itu dihalang balik untuk mengundi.

“Kebimbangan kami berikutan pelajar institusi pengajian tinggi ketika ini mula tidak dibenarkan pulang oleh kampus masing-masing ketika cuti Tahun Baharu Cina dengan alasan penularan Covid-19 varian Omicron. AMK risau alasan yang sama akan digunakan bagi mewajarkan tindakan institusi pengajian tinggi tidak membenarkan pelajar mereka untuk pulang mengundi pada PRN Johor nanti,” katanya.

Menurut statistik, seramai 2.57 juta pengundi biasa daripada keseluruhan 2.599 juta pengundi berdaftar layak mengundi pada PRN Johor yang akan diadakan tidak lama lagi dengan 376 orang daripadanya adalah pengundi luar negara di semua kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya