Aktivis didenda RM1,900 buat video jelik kemasukan pendatang asing - Utusan Malaysia

Aktivis didenda RM1,900 buat video jelik kemasukan pendatang asing

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Mahkamah Sesyen di sini hari ini mendenda seorang aktivis RM1,900 selepas mengaku bersalah atas pertuduhan membuat video bersifat jelik yang mengaitkan kemasukan pendatang asing dan jenayah yang berlaku di Pasar Borong Selayang.

Hakim M. M Edwin Paramjothy menjatuhi hukuman denda itu terhadap Mustapa Mansor Amer Mohd. Isa, 60, selaku Orang Kena Saman (OKS) atas pertuduhan pindaan yang dikemukakan terhadapnya.

Sekiranya Mustapa Mansor gagal membayar jumlah denda itu, OKS boleh dipenjara enam bulan lagi. OKS membayar denda tersebut.

Mengikut pertuduhan, aktivis itu didakwa membuat dan memulakan penghantaran komunikasi yang jelik sifatnya dengan niat untuk menyakiti hati orang lain pada waktu malam 26 April 2020.

Tertuduh didakwa membuat video jelik menggunakan profil ‘Mustapa Mansor’ bertajuk Isu Semasa: Siapakah Pengkhianat Negara Kita? (Siri 18), yang kemudian telah dibaca di Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman di sini, pukul 2.30 petang pada 2 Mei 2020.

Bagi kesalahan itu, pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 233(3) akta sama.

Hukuman bagi seksyen itu memperuntukkan hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara tidak lebih setahun atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Terdahulu, peguam Jadadish Chandra memohon mahkamah mengenakan hukuman denda minimum dengan alasan video yang dimuat naik berhubung isu rakyat.

“OKS juga merupakan bapa lapan anak dan kesalahan itu kali pertama dilakukan. OKS berjanji tidak akan mengulangi perbuatan itu sama dan akan lebih berhati-hati dalam membangkitkan sesuatu isu,” kata peguam itu.

Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya Najihah Farhana Che Awang memohon mahkamah mengenakan hukuman setimpal sebagai pengajaran terhadap OKS.

Mengikut fakta kes, video itu dimuat naik oleh OKS menggunakan profil Mustapa Mansor yang mana kandungannya mengenai kegiatan jenayah seperti dadah, gangsterism serta pemerdagangan manusia di Pasar Borong Selayang.

Hasil siasatan mendapati kandungan video itu mengandungi hantaran yang jelik sifatnya dengan niat untuk menyakitkan hati orang lain.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN