SERI KEMBANGAN: Kerjasama ekonomi dan perdagangan Malaysia-India dijangka melonjak ke tahap lebih tinggi.
Ia susulan komitmen baharu kedua-dua negara untuk memperluas perkongsian strategik dalam sektor digital di bawah dasar Akta Timur New Delhi.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, hubungan Malaysia dan India terus diperkukuh menerusi kerjasama digital yang menunjukkan perkembangan semakin ketara sejak beberapa tahun kebelakangan ini.
“Dasar Tindakan ke Timur (AEP) oleh India meletakkan ASEAN sebagai antara tunjang utama dalam hubungannya dan Malaysia berbangga menjadi sebahagian daripada rangka kerjanya,” katanya ketika berucap pada Sesi Bersama Perdana Menteri India, Narendra Modi dan Komuniti India di sini hari ini.
Anwar berkata, hubungan dengan India akan terus diperkukuh dalam bidang semikonduktor, pengilangan maju, kewangan digital, kecerdasan buatan (AI) dan keselamatan siber.
Beliau berkata, Majlis Digital Malaysia–India mencerminkan aspirasi bersama itu dan hubungan antara Sistem Antara Muka Pembayaran Bersepadu (UPI) India serta sistem PayNet Malaysia menjadikan pembayaran rentas sempadan lebih mudah bagi perniagaan, pelajar dan pelancong.
“Ekosistem elektronik Malaysia yang mantap dan pasaran serta keupayaan reka bentuk India yang sedang berkembang adalah pelengkap semula jadi antara satu sama lain.
“Ketika rantaian bekalan global sedang disusun semula, terdapat potensi besar untuk menjadikan rantau kita sebagai hab pembuatan teknologi tinggi yang lebih berdaya tahan dan dipercayai,” katanya.
Dalam pada itu, Anwar memberi jaminan bahawa komuniti India di Malaysia akan terus menjadi sebahagian daripada agenda besar pembangunan negara.
Menurutnya, komuniti India merupakan rakan kongsi penting dan tidak terpisah dalam perjalanan pembinaan negara sejak sekian lama.
“Saya membesar bersama jiran, guru dan rakan sekerja daripada komuniti India yang dedikasi mereka membentuk kehidupan seharian kita. Kami bersekolah, bersukan dan meraikan perayaan bersama.
“Begitulah sesebuah negara benar-benar dibina, bukan sekadar melalui dasar besar, tetapi di bilik darjah, di tempat kerja dan dalam kehidupan yang dikongsi bersama,” katanya.
Terdahulu, Anwar menyambut ketibaan Perdana Menteri India, Narendra Modi di Kompleks Bunga Raya, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).
Pesawat yang membawa Modi tiba pada pukul 4.40 petang tadi dan beliau diberi sambutan Kawalan kehormatan setempat terdiri daripada dua pegawai dan 26 anggota lain-lain pangkat daripada batalion pertama rejimen askar Melayu Diraja diketuai oleh Kapten Mohd. Afiq Aiman Mohd Zulkifli.
Esok, Modi akan diberikan sambutan rasmi di Kompleks Perdana Putra, Putrajaya sebelum mengadakan mesyuarat dua hala bersama Anwar Ibrahim di Kompleks Seri Perdana.
Kedua-dua pemimpin dijangka membincangkan pelbagai isu berkaitan hubungan dua hala serta meneroka peluang kerjasama strategik antara Malaysia dan India, khususnya dalam sektor perdagangan dan pelaburan; pertahanan dan keselamatan; tenaga kerja; pelancongan; kesalinghubungan; pertanian serta pendidikan.
Selain itu, kedua-dua Perdana Menteri dijadualkan menyaksikan pertukaran beberapa Memorandum Persefahaman (MoU) dan Memorandum Kerjasama (MoC) merangkumi bidang pembanterasan dan pencegahan rasuah; piawaian latihan; pensijilan serta pengawasan pelaut; pengurusan bencana; penerbitan audio visual serta kerjasama dalam sektor tenaga kerja.-UTUSAN










