KUALA LUMPUR: Pengamal undang-undang merupakan antara peserta Perhimpunan Gerakan Anti Rumah Anutan Haram yang berlangsung di pekarangan kompleks membeli-belah Sogo di sini, hari ini.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus mengesahkan tangkapan melibatkan penganjur perhimpunan, Zamri Vinoth dan beberapa individu lain.
“Tiada sidang akhbar pada malam ini atas sebab beberapa tindakan lagi yang perlu dibuat.
“Saya cuma mahu sahkan tangkapan Zamri Vinoth bersama penama yang lain, namun saya akan rangkumkan makluman berkaitan semua ini dalam sidang akhbar pada esok (Ahad),” katanya ketika ditemui.
Turut ditahan ialah Ketua Penerangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Hulu Langat, Shafiq Halim dan pengamal undang-undang, Haniff Katri Abdulla.
Difahamkan kesemua yang ditahan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi untuk tindakan lanjut.
Sebelum ini, polis tidak membenarkan penganjuran Perhimpunan Gerakan Anti Rumah Anutan Haram atas faktor keselamatan.
Keputusan itu dibuat selepas polis menjalankan risikan keselamatan serta meneliti maklum balas daripada beberapa pihak.
Himpunan tersebut bertujuan menyuarakan kebimbangan terhadap isu pembinaan rumah anutan haram di seluruh negara.
Ia dianjurkan oleh Gerakan Anti Rumah Anutan Haram dan disertai 141 pertubuhan bukan kerajaan (NGO). – UTUSAN











