Ahmad Maslan nafi jadi Menteri Kewangan - Utusan Malaysia

Ahmad Maslan nafi jadi Menteri Kewangan

AHMAD Maslan (tengah) menerima cenderamata sempena penubuhan Alumni PKAYI Daerah Pontian di Asrama PKAYI di Pontian, Johor. -UTUSAN/MUHAMMAD ZIKRI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PONTIAN: Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan menjelaskan dakwaan pelantikan beliau sebagai Menteri Kewangan hanya sebagai khabar angin.

Kata Ahli Parlimen Pontian itu, kuasa melantik Jemaah Kabinet terletak di tangan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

“Sebagaimana ditularkan itu, saya anggap sebagai khabar angin sahaja, soal berkaitan Kabinet terpulang kepada Perdana Menteri,” katanya ketika ditemui selepas merasmikan penubuhan Alumni Pertubuhan Kebajikan Anak-Anak Yatim (PKAYI) Daerah Pontian, hari ini.

Sejak beberapa hari lalu, tular di media sosial menyatakan Ahmad akan dilantik sebagai Menteri Kewangan dalam rombakan Kabinet yang turut menjadi spekulasi sejak kebelakangan ini.

Ahmad sebelum ini pernah menjadi Timbalan Menteri Kewangan II pada 2013 hingga 2016 dan kemudiannya dilantik sebagai Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri selain pernah menjawat jawatan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri.

Dalam pada itu, tiga perkara utama akan diberikan tumpuan pada Mesyuarat Tertinggi (MT) UMNO pada 12 Januari ini termasuk isu banjir besar yang melanda beberapa negeri baru-baru ini.

Jelas Ahmad, turut diberikan tumpuan adalah tarikh baharu Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2021 serta isu berkaitan Muafakat Nasional (MN) yang kembali hangat diperkatakan.

“Selain membincangkan perjalanan pengurusan parti serta MN, UMNO juga memberi tumpuan kepada masalah banjir yang akan dibangkitkan pada Persidangan Khas Parlimen pada 20 Januari ini.

“Ahli-Ahli Parlimen UMNO diminta menyampaikan pandangan masing-masing berkaitan banjir yang berlaku di tempat mereka supaya tindakan susulan dapat diambil.

“Berkenaan MN yang dibincangkan pada MT kelak, saya tidak dapat memberi sebarang komen kerana ia melibatkan dasar-dasar utama kerjasama yang dimeterai antara UMNO dan Pas,” katanya.

PAU 2021 yang sepatutnya diadakan pada 13 hingga 15 Januari ini terpaksa ditunda berikutan kejadian banjir yang melibatkan beberapa negeri seperti Selangor, Kuala Lumpur, Melaka, Negeri Sembilan, Pahang dan Johor.

Sempena penubuhan Alumni PKAYI  Daerah Pontian, Ahmad telah meluluskan peruntukkan sebanyak RM200,000 bagi pembinaan dewan  terbuka di Asrama Anak-Anak Yatim Islam tersebut.-UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN