IPOH: DAP Perak masih menunggu laporan rasmi mengenai penahanan seorang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) daripada parti itu bersabit kes positif dadah di Pulau Pinang.
Naib Pengerusi DAP negeri, Dr. Abdul Aziz Bari berkata, tidak wajar untuk beliau memberi ulasan penahanan itu.
Menurutnya, ini kerana pihak berkuasa tidak mengeluarkan sebarang kenyataan rasmi berkaitan individu yang terlibat.
“DAP belum mendapat sebarang laporan lanjut berhubung perkara berkenaan.
“Saya rasa lebih baik tunggu kenyataan rasmi daripada pihak berkuasa,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.
Seorang ADUN Perak ditahan bersama 35 individu lain selepas ujian saringan air kencing mereka positif dadah.
Wakil rakyat berusia 50-an itu ditahan di sebuah restoran yang dahulunya merupakan kelab malam di Perai, Pulau Pinang semalam. – UTUSAN ONLINE










