PENDANG: Kementerian Sumber Manusia mengakui menerima aduan daripada mangsa banjir di Selangor yang mendakwa mereka dibuang kerja setelah tidak dapat hadir bertugas ketika bencana melanda negeri tersebut baru-baru ini.
Menurut Timbalan Menterinya, Datuk Awang Hashim, tindakan berhubung perkara itu sudah diambil bagi memastikan mereka yang teraniaya, mendapat pembelaan sewajarnya.
“Aduan itu kita terima menerusi aplikasi ‘Working For Workers’ (WFW) baru-baru ini. Saya tiada jumlah yang tepat mengenai aduan tersebut namun kita akan siasat dan heret majikan ke mahkamah sekiranya mereka benar-benar melakukan penindasan terhadap pekerja,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menyampaikan faedah hilang upaya sementara kepada penghantar makanan, Hussain Mohamad Danial, 25, di rumahnya di Kampung Sukamari di sini hari ini.
Hussain yang masih menuntut di sebuah universiti di Kaherah, Mesir terbabit dalam kemalangan ketika dalam perjalanan mengambil pesanan pelanggan hingga menyebabkan paha kiri dan tulang pinggulnya patah pada Jun tahun lalu.
Sementara itu katanya, Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) sudah membuat pembayaran berjumlah RM1.3 juta kepada 764 penghantar makanan di seluruh negara yang terlibat dengan kemalangan dan membuat caruman Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri (SKSPS).
Menurutnya pembayaran itu dibuat kepada individu yang hilang upaya sementara dan kekal akibat kecederaan dialami, serta keluarga mereka yang telah meninggal dunia.
“Jika berlaku kemalangan, proses tuntutan akan segera diproses. Sekiranya dokumen diperlukan seperti pengesahan doktor dihantar dengan lengkap, proses penyerahan faedah itu akan dilakukan sesegera mungkin.
“Dari sudut perlindungan kebajikan ini, memang kita beri perhatian. Setiap kerja dilakukan pasti ada risiko dan risiko itulah yang kita berikan tumpuan,” katanya.
Katanya, kementerian menyasarkan sekurang-kurangnya 30 peratus daripada 2.38 juta Orang Bekerja Sendiri (OBS) di seluruh negara, akan membuat caruman bersama Perkeso di bawah SKSPS, pada tahun ini.
Katanya sejak SKSPS diperluaskan kepada 19 sektor pada Oktober lalu, seramai 15.03 peratus atau 358,214 OBS sudah mencarum di bawah skim tersebut.
“Kita berharap sasaran itu dapat dicapai kerana faedahnya cukup baik sekiranya mereka yang terlibat dilanda musibah,” katanya.










