PETALING JAYA: Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) perlu diadakan serentak dengan Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor bagi mengelakkan pembaziran duit rakyat.
Ketua Penerangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia ( Bersatu) Bahagian kawasan Johor Selatan dalam satu kenyataan bersama berkata, tindakan UMNO melaksanakan PRN dalam keadaan rakyat terkesan akibat bencana banjir dan pandemik Covid-19, menunjukkan UMNO tidak mengambil berat kesengsaraan rakyat.
Justeru katanya, UMNO didesak supaya berhenti membuli parti-parti gabungan Perikatan Nasional (PN) dengan mengadakan PRN untuk merebut kuasa.
“Tindakan UMNO membubarkan DUN Johor dan melaksanakan PRN dalam keadaan rakyat terkesan akibat bencana banjir dan pandemik Covid-19, menunjukkan UMNO tidak peduli langsung dengan kesengsaraan rakyat.
“Kami mendesak UMNO supaya berhenti membuli parti-parti gabungan PN dengan mengadakan PRN hanya untuk merebut kuasa,” katanya.
Dalam pada itu, semua Ketua Penerangan Bersatu itu turut mengecam tindakan dua Ahli Dewan Undangan Negeri (DUN) sebelum ini yang keluar parti. – UTUSAN









