Adakah sah perkahwinan berwalikan seorang perokok? - Utusan Malaysia

Adakah sah perkahwinan berwalikan seorang perokok?

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Zulkifli Mohamad al-Bakri menerusi rangkaian media sosial terbaharunya, Maktabah Al-Bakri menjawab persoalan mengenai sah atau tidak perkahwinan berwalikan seorang perokok.

Dalam hal itu, tulis beliau, wali ataupun dalam bahasa arabnya al-Wali dari sudut bahasa bermaksud ‘dekat atau hampir’.

Ia disebut ‘waliyyahu, walyan’ iaitu hampir kepadanya.

Dan ‘wali al-Amr’, apabila berurusan dengannya dan ‘tawalla al-Amr’ iaitu dilantik akan dia.

Dari sudut istilah, al-wilayah digunakan sebagai ketua yang tertinggi, qadi, tentera dan selainnya.

Terdapat pelbagai maksud yang digunakan pada kalimah wali atau wilayah, ia juga memberi maksud sebagai wakil atau penjaga seperti yang diibaratkan sebagai wali di dalam nasab keturunan, wakil dalam pembahagian harta dan lain-lain lagi.

Selain itu, tulis beliau, pada maksud yang lain al-wilayah berlawan dengan al-A’dawah, secara asalnya ia bermaksud kasih sayang dan hampir. Dan maksud al-A’dawah ialah kebencian dan jauh.

Wali pernikahan pula adalah orang yang menentukan sahnya akad. Akad nikah tidak sah dengan ketiadaannya. Wali itu seperti bapa, orang yang diwasiatkan, karib kerabat yang dekat (al-Qarib al-Ashib), orang yang membebaskan hamba, penguasa dan raja.

Di samping itu jelasnya, terdapat beberapa ciri atau kriteria yang perlu ada pada diri seorang wali. Kami nyatakan beberapa syaratnya seperti berikut:

– Islam
Seorang wali dalam nikah hendaklah merupakan seorang yang beragama Islam. Ini kerana, Islam tidak menjadikan orang bukan Islam menguasai atau menjadi penentu dalam keputusan orang Islam.

– ‘Adalah (Keadilan)
Di dalam mazhab al-Imam al-Syafie, disyaratkan bahawa seorang wali juga perlulah bersifat dengan sifat adil. Ini membawa erti, dia tidak boleh berciri dengan sifat fasiq. Seperti kata al-Imam al-Bujairimi: Sesungguhnya sahnya pernikahan itu terhenti ke atas hadirnya saksi-saksi yang adil, juga keadilan seorang wali.

Definisinya ‘adalah seperti berikut: Tidak melakukan sebarang dosa besar, dan tidak berterusan melakukan dosa kecil. Serta tidak melakukan sebarang perbuatan yang mencemarkan maruah seperti kencing di jalanan, dan seumpamanya.

Imam Ibn Hamdan Rahimahullah berkata: Setiap perbuatan dosa besar, sekali sahaja melakukannya telah menjadikan seorang itu jatuh fasiq manakala perbuatan dosa kecil, seseorang itu dikira sebagai fasiq sekiranya melakukannya sebanyak tiga kali.

Menjawab persoalan di atas, pernikahan yang berwalikan seorang perokok itu adalah sah.

Malah katanya, dengan syarat, wali tersebut terlebih dahulu memperbanyakkan amal soleh dan juga taubat, sehinggalah tiba hari pernikahan. Hal ini kerana seseorang wali yang juga merupakan perokok mempunyai kekurangan kepada sifat ‘adalah (keadilan) mereka.

“Mengambil kesempatan di sini, kami menasihati kepada umat Islam agar meninggalkan rokok dan perbuatan merokok. Banyak data yang menjelaskan akan kemudharatan merokok berbanding kebaikannya.

“Antara data yang dikeluarkan oleh Bahagian Pendidikan Kesihatan, Kementerian Kesihatan mengenai bahayanya merokok, ialah mengakibatkan strok, serangan sakit jantung, dan mengakibatkan kanser paru-paru,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya