PETALING JAYA: Kira-kira 3,215 nelayan asing dikesan menceroboh perairan negara bagi mencuri hasil laut dalam tempoh tiga tahun sejak 2019 hingga tahun lalu.
Kesemua tangkapan itu melibatkan 361 kes serta merampas RM541.5 juta hasil laut yang dirompak dan bot nelayan asing melalui penguatkuasaan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) dalam tempoh terbabit.
Mendedahkan kepada Mingguan Malaysia, Ketua Pengarah Maritim Malaysia, Laksamana Maritim Datuk Mohd. Zubil Mat Som berkata, pihaknya mendapati nelayan Vietnam dikesan paling banyak menceroboh perairan negara iaitu seramai 3,305 orang diikuti dengan Indonesia (134 orang), Thailand (45 orang) dan Kemboja (seorang).
Menurut beliau, pada tahun 2020, pihaknya mengusir sebanyak 644 bot asing iaitu melibatkan 115 bot nelayan Vietnam, 517 bot nelayan Indonesia dan tiga bot Taiwan.
“Pada tahun lalu, kita mengusir 87 bot nelayan Indonesia. Jika tahun 2020, kita banyak mengusir bot-bot asing ini disebabkan penularan Covid-19 jadi kita tidak mahu pegawai dan anggota Maritim terdedah dengan virus itu.
“Bagaimanapun, kita lihat nelayan-nelayan ini tidak makan saman, apabila diusir dia cuba masuk lagi jadi tahun lalu kita menjalankan tangkapan secara komprehensif. Mana-mana pihak yang dikesan cuba menceroboh kita terus tangkap,” katanya ketika diwawancara di Ibu pejabat Maritim Malaysia di Putrajaya.
Dalam pada itu, Mohd. Zubil tidak menafikan terdapat nelayan tempatan bersekongkol dengan nelayan asing bagi merompak hasil laut negara atas kepentingan tertentu termasuk diberi upah.
Malah, jelasnya, ada antara awak-awak kapal warga asing yang bekerja dengan bot tempatan membantu ‘kawan’ senegara mereka menyelinap masuk ke perairan negara.
“Negara kita membenarkan bot nelayan tempatan menggaji kru warga asing, selalunya dari Vietnam. Bila dia keluar ke laut, dia akan panggil ‘kawan’ (nelayan asing) masuk.
“Mereka yang bekerja dengan nelayan tempatan turun ke jeti, jadi tidak mustahil dia juga boleh dapatkan maklumat mengenai penguatkuasaan dan lain-lain bagi membantu rakan.
“Contohnya, kalau kapal Maritim (KM Pekan) keluar ke laut, perairan negara mesti ‘clear’ tetapi bila operasi tamat, nanti banyaklah kapal-kapal beratur cuba nak ceroboh masuk,” ujar beliau.
Tambah Mohd. Zubil, dalam tempoh tiga tahun sejak 2019 hingga tahun lalu, seramai 1,400 daripada 3,215 nelayan asing yang ditahan telah didakwa di mahkamah manakala selebihnya dalam proses siasatan. – UTUSAN ONLINE











