Abang Abdul Azeez lepas bebas tuduhan subahat rasuah - Utusan Malaysia

Abang Abdul Azeez lepas bebas tuduhan subahat rasuah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Status dilepaskan tanpa dibebaskan daripada pertuduhan bersubahat dengan adiknya yang juga Ahli Parlimen Baling, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim seolah-oleh menjadikan Abdul Latif sebagai seorang ‘tebusan’ yang perlu memberikan keterangan yang berpihak kepada pendakwaan.

Keadaan itu juga boleh menyebabkan keterangan yang bakal diberikan Datuk Abdul Latif Abdul Rahim, 64, yang disenaraikan sebagai salah seorang saksi pendakwaan dalam kes rasuah dan pengubahan wang haram adiknya itu boleh dipertikaikan dan kemudian dianggap sebagai tercemar.

Sehubungan itu, Hakim Mahkamah Tinggi di sini, Datuk Collin Lawrence Sequerah semalam membenarkan permohonan semakan oleh Abdul Latif sekaligus melepas dan membebaskan lelaki terbabit daripada dua pertuduhan bersubahat dengan Abdul Azeez.

Pada 8 Februari 2021, Abdul Latif dilepas tanpa dibebaskan oleh Mahkamah Sesyen di sini dua tuduhan bersubahat dengan Abdul Azeez berhubung kes rasuah bagi beberapa projek pembinaan lebuh raya dan naik taraf jalan raya, hampir lima tahun lalu.

Pada September 2021, Abdul Latif memfailkan permohonan semakan di Mahkamah Tinggi bagi menyemak semula keputusan Mahkamah Sesyen.

Pada prosiding hari ini, Abdul Latif diwakili peguam bela, Datuk Seri Dr. Jahaberdeen Mohamed Yunoos manakala pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan-Timbalan Pendakwa Raya, Nik Haslinie Hashim dan Hafizatul Ifa Ab. Razak.

Terdahulu ketika membacakan keputusannya, Hakim Collin memberitahu, Seksyen 254(3) Kanun Tatacara memberikan kuasa kepada mahkamah untuk menggunakan budi bicara dalam melepas dan membebaskan seseorang individu daripada pertuduhan.

“Selepas meneliti hujahan daripada kedua-dua pihak, mahkamah mendapati alasan yang diberikan oleh pendakwaan tidak mempunyai sebarang merit.

“Selain itu, alasan responden (pendakwaan) bahawa pemohon akan didakwa semula di mahkamah sekiranya terdapat perkembangan terbaharu dalam kes tersebut. Alasan ini tidak boleh dianggap sebagai alasan munasabah untuk memberikan keputusan melepaskan tanpa dibebaskan kepada pemohon.

“Tiada sebarang petunjuk oleh pendakwaan bila perkara ini (didakwa semula) akan berlaku dan ini boleh menyebabkan pemohon sentiasa berada dalam tanda tanya,”kata hakim itu. 

Pada 6 Oktober lalu, Mahkamah Rayuan selepas mendengar rayuan Abdul Azeez berhubung keputusan Mahkamah Tinggi yang menolak permohonannya untuk membatalkan kesemua 13 pertuduhan yang dihadapinya.

Tarikh untuk keputusan rayuan itu masih belum ditetapkan.

Pada 16 Januari 2019, Abdul Azeez, 55, menghadapi tiga pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM5.2 juta berhubung projek jalan raya di Perak dan Kedah serta 10 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah keseluruhan RM13.9 juta yang didakwa diterima daripada syarikat Menuju Asas Sdn. Bhd.

Dia dituduh melakukan kesalahan itu di CIMB Bank, Jalan Tun Perak di Kuala Lumpur pada 8 Disember 2010 dan di Affin Bank, Pusat Bandar Puchong, Selangor pada 13 Jun 2017 dan 10 April 2018, manakala kesalahan pengubahan wang haram dilakukan di kawasan Lembah Klang antara 8 Mac 2010 dan 30 Ogos 2018. -UTUSAN ONLINE

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya