GUA MUSANG: Dianggarkan 700 keluarga miskin atau berpendapatan rendah yang tinggal di kawasan setinggan sepanjang tebing sungai di bandar ini terdedah dengan ancaman banjir setiap tahun.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Galas, Mohd. Syahbuddin Hashim memberitahu Utusan Malaysia, kemiskinan menyebabkan sebahagian besar penduduk itu tinggal di atas tanah rizab sungai dan jalan sejak berpuluh tahun lalu.
Katanya, kejadian banjir berulang di kawasan itu bukan sahaja mengancam nyawa malah mengakibatkan mereka kerugian harta benda.
“Ketika banjir baru-baru ini, bagi DUN Galas sahaja, hampir 300 keluarga terjejas dengan kebanyakan adalah penduduk setinggan di tebing sungai.
“Bagi menyelesaikan masalah ini, sekurang-kurangnya sebanyak 1,000 unit kediaman lagi perlu dibina menerusi Program Perumahan Rakyat (PPR) di daerah ini,” katanya.
Tambah Mohd. Syahbuddin, masalah itu telah diadukan kepada pihak Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) dan beliau berharap aduan tersebut mendapat tindakan sewajarnya.
Sementara itu, penduduk di Kampung Simpang Empat Kundur, Fadilah Ishak, 36, berkata, kediamannya yang terletak di tebing Sungai Galas sering dinaiki air setiap kali musim tengkujuh.
Katanya, dia berharap kerajaan dapat memberikan bantuan rumah PPR yang lebih selesa buat keluarganya.
“Saya tinggal di kawasan ini sejak 30 tahun lalu dan kejadian paling teruk ialah banjir besar pada tahun 2014 yang menyebabkan rumah kami ditenggelami air sehingga paras bumbung. -UTUSAN ONLINE










