Selama 51 tahun Md. Ghani hasilkan blok batik cetak

51 tahun Md. Ghani hasilkan blok batik cetak

MENTERI Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Nancy Shukri tertarik melihat demonstrasi membuat blok oleh Md. Ghani Mat di Kampung Chenderong Batu, Wakaf Bharu, Tumpat, Kelantan. – FOTO/ZULHANIFA SIDEK
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TUMPAT: Terus berkarya sela­gi ada kudrat. Demikian tekad pembuat blok untuk batik cetak di Kampung Chenderong Batu, di sini, Md. Ghani Mat yang turut diiktiraf sebagai Adiguru Kraf Blok Batik oleh Kraftangan Malaysia.

Md. Ghani, 66, mula membuat blok ditempah pengusaha batik cetak sejak berusia 15 tahun dan kini, setelah 51 tahun lamanya mengabadikan diri da­lam industri kraf tersebut, dia belum berhasrat untuk bersara.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, bapa kepada lima cahaya mata itu memberitahu, dalam tempoh lima dekad, dianggarkan lebih kurang 6,000 blok batik pernah dihasilkannya.

Katanya, dengan kemahiran tersebut, dia memperoleh pen­dapatan kira-kira RM3,000 sebulan yang dimanfaatkan untuk menyara keluarga, sekali gus membesarkan kelima-lima anaknya.

“Saya belajar membuat blok ketika berumur 15 tahun de­ngan seorang guru sekitar tahun 1970-an. Selepas menguasai kemahiran ini dua tahun kemudian, barulah saya menghasilkan sendiri blok mengikut tempahan pelanggan.

“Ketika ini, dalam sebulan saya mampu menghasilkan sebanyak 10 blok dengan pelbagai corak dan bentuk mengikut ci­tarasa pelanggan yang membuat tempahan,” katanya ketika ditemui di sini baru-baru ini.

Blok dihasilkan Md. Ghani dijual mengikut saiz iaitu antara RM350 hingga RM500 setiap satu dengan pelbagai corak dan setiap satu kerja seni beliau itu mampu disiapkan dalam tempoh tiga hingga tujuh hari.

Pelanggannya kini tidak terhad dalam kalangan pembuat batik cetak dari Kelantan sahaja, bahkan dari seluruh negara termasuk Sabah dan Sarawak.

Selain terus aktif memenuhi tempahan pelanggan, Md. Gha­ni juga tidak lokek berkongsi ilmu kepada generasi muda setiap kali dijemput melakukan demonstrasi atau mengajar membuat blok batik oleh Kraftangan Malaysia.

Kata Md. Ghani, dia lega apabila legasi pembuatan blok batik diwarisi dua anak lelaki iaitu Mohd. Adi Adli, 25, dan Mohd. Eri Azri, 32, yang kini menjadi tulang belakang kepada perusahaan keluarga mereka.

“Selepas tamat Perintah Ka­walan Pergerakan (PKP), industri batik di Kelantan kembali bernafas. Cuma kebelakangan ini kami berdepan masalah mendapatkan tembaga sebagai bahan asas untuk membuat blok.

“Jika keadaan ini berterusan pada masa akan datang, kami terpaksa gunakan besi sebagai bahan asas, biarpun kualitinya lebih rendah berbanding tembaga, termasuk tidak tahan lama,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya