SHAH ALAM: Lima lokasi baharu di Kuala Selangor diwarta Majlis Perbandaran Kuala Selangor (MPKS) sebagai tempat letak kenderaan (TLK) berbayar mulai 1 Mac ini
Pihak berkuasa tempatan (PBT) itu dalam satu kenyataan memaklumkan, pelaksanaan TLK berbayar melibatkan kawasan Pasir Penambang, Eco Grandeur, Ijok, Kuala Selangor dan Sungai Buloh Sasaran.
“Pelaksanaan sistem TLK bertujuan mengawal aktiviti salah guna tapak parkir dan memastikan perancangan bandar lebih tersusun serta teratur.
“Kadar bayaran yang dikenakan adalah 50 sen sejam dan waktu operasi bermula 8 pagi hingga 5 petang (Isnin hingga Jumaat) kecuali pada Sabtu, Ahad dan cuti umum,” kata MPKS di laman Facebooknya hari ini.
MPKS turut memaklumkan, bayaran boleh dibuat melalui sistem dalam talian Smart Selangor Parking atau Flexi Parking manakala pas bulanan diperoleh melalui ejen dilantik.
Untuk pertanyaan lanjut, orang ramai boleh menghubungi talian 03-3289 7385 (sambungan 30).










