JOHOR BAHRU: Keadaan banjir di negeri ini semakin menunjukkan perkembangan positif apabila jumlah mangsa berkurangan kepada 3,714 orang daripada 1,063 keluarga setakat pukul 8 pagi ini.
Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar Johor, R Vidyananthan berkata, ia melibatkan mereka yang ditempatkan di 47 pusat pemindahan sementara (PPS) di empat daerah yang masih terkesan.
“Segamat terus menunjukkan penurunan apabila seramai 1,674 mangsa daripada 455 keluarga di 26 PPS berbanding 1,715 mangsa daripada 468 keluarga di 28 PPS, malam tadi.
“Bagaimanapun, tiga daerah menunjukkan peningkatan sedikit membabitkan Tangkak dengan 712 mangsa daripada 217 keluarga berbanding 705 mangsa daripada 208 keluarga di sembilan PPS,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Dalam pada itu, Vidyananthan berkata, mengikut data Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Johor, empat sungai di kawasan terjejas banjir masih berada di aras bahaya.
“Sungai itu membabitkan di Kampung Olak Sepam, di Muar pada aras 3.35 meter (m) selain Panchor, Muar (2.44m), Bukit Kepong, Muar (4.9m) dan Buloh Kasap, Segamat (9.50m),” katanya.










