KOTA BHARU: Kelantan kekal sebagai negeri berimej bersih dan bebas daripada sebarang kes rasuah selepas 32 tahun diperintah Pas.
Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakob berkata, Kelantan mungkin tidak sehebat negeri lain dalam aspek pertumbuhan ekonomi tetapi kakitangan awam dan lantikan politiknya tetap berintegriti tinggi.
Perkara itu katanya, menjadi batu asas kepada pentadbiran negeri ini sejak sekian lama selepas dimulakan Allahyarham Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat sepanjang beliau menjadi Menteri Besar.
“Alhamdulillah setakat dalam pengetahuan kita, Kelantan tiada gejala rasuah sama ada melibatkan penjawat awam atau ahli politik. Di luar (pengetahuan), wallahu ‘alam.
“Mereka yang ada hari ni kita sentiasa kawal dan beri peringatan dalam majlis-majlis, selain buat solat dhuha dan sampaikan amanat setiap masa supaya jaga nama baik,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Terdahulu Ahmad menyempurnakan Majlis Angkat Sumpah Penerimaan Jawatan 24 Ahli Majlis Perbandaran Kota Bharu Bandar Raya Islam (MPKB-BRI) bagi Sesi 2022.
Turut hadir, Timbalan Menteri Besar, Datuk Mohd. Amar Nik Abdullah, Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan negeri, Dr. Izani Husin dan Yang Dipertua MPKB-BRI, Tuan Zainal Abidin Tuan Yusuf.
Mengulas lanjut Ahmad berkata, latar belakang pendidikan agama dimiliki sebahagian besar pemimpin dan kakitangan turut menjadi penyumbang kepada sebuah pentadbiran berintegriti tinggi.
Katanya, rekod dan imej bersih dipegang Kelantan ketika ini tersebut diharap dapat terus dikekalkan oleh saf kepimpinan akan datang.- UTUSAN ONLINE










