PUTRAJAYA: Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA), Kementerian Kesihatan (KKM) mengesan racun berjadual iaitu merkuri di dalam produk kosmetik melibatkan NP Beauty FM Cream, NP Beauty FB Cream -7g dan As’s Beauty Night Cream.
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, susulan itu, notifikasi produk-produk kosmetik tersebut dibatalkan oleh Pengarah Kanan Perkhidmatan Farmasi Kementerrian Kesihatan dan tidak lagi dibenarkan untuk dijual di Malaysia.
Menurutnya, penjual dan pengedar produk kosmetik ini perlu menghentikan penjualan dan pengedarannya serta-merta, manakala penjualan dan pengedaran produk kosmetik ini melanggar Peraturan-Peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984.
“Individu yang melakukan kesalahan di bawah Peraturan-Peraturan ini boleh dikenakan hukuman denda tidak melebihi RM25,000 atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya untuk kesalahan pertama dan denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya untuk kesalahan berikutnya.
“Syarikat yang melakukan kesalahan boleh dikenakan denda sehingga RM50,000 untuk kesalahan pertama dan denda sehingga RM100,000 untuk kesalahan berikutnya,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Mengulas lanjut, Dr. Noor Hisham berkata, merkuri dilarang di dalam produk kosmetik kerana boleh memudaratkan kesihatan serta boleh diserap masuk ke dalam badan dan menyebabkan kerosakan pada buah pinggang serta sistem saraf.
“Ia juga boleh mengganggu perkembangan otak kanak-kanak yang masih kecil atau belum dilahirkan. Merkuri juga boleh menyebabkan ruam, iritasi dan perubahan lain pada kulit.
“Justeru, orang awam yang sedang menggunakan produk kosmetik ini dinasihatkan untuk segera menghentikan penggunaannya dan mendapatkan nasihat daripada ahli profesional kesihatan jika mengalami sebarang ketidakselesaan atau kesan advers,” katanya.
Tambah beliau, orang awam digalakkan untuk menyemak status notifikasi sesuatu produk kosmetik dengan melayari laman sesawang rasmi NPRA www.npra.gov.my atau melalui aplikasi ‘NPRA Product Status’ yang boleh dimuat turun daripada Google Play Store. – UTUSAN ONLINE










