3 diberkas jual mercun, bunga api tanpa permit - Utusan Malaysia

3 diberkas jual mercun, bunga api tanpa permit

ABDUL Majid Mohd. Ali (tengah) menunjukkan mercun dan bunga api tanpa permit bernilai RM150,000 yang dirampas di Bukit Baru, Melaka. - UTUSAN/DIYANATUL ATIQAH ZAKARYA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Tiga lelaki tempatan diberkas di sebuah banglo di Bukit Baru di sini selepas dipercayai menjadikan rumah itu sebagai markas menjual mercun dan bunga api tanpa permit bernilai RM150,000, Jumaat lalu.

Ketua Polis Melaka, Datuk Abdul Majid Mohd. Ali berkata, kesemua suspek berusia antara 27 hingga 29 tahun diberkas pada pukul 7 petang oleh Bahagian Khas Jenayah Berat (D9) Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ).

Katanya, dalam penahanan itu, polis turut merampas 146 kotak mercun dan bunga api pelbagai jenis dipercayai bekalan sempena sambutan Tahun Baharu Cina pada Februari depan.

“Hasil risikan, sepasukan D9 membuat serbuan di sebuah rumah dan menahan tiga lelaki tempatan selepas dipercayai menjual pelbagai jenis mercun dan bunga api tanpa permit bernilai RM150,000.

“Bekalan ini dibeli dari China menggunakan khidmat kurier dan dipercayai dikumpul sejak enam bulan lalu bagi pasaran sambutan Tahun Baharu Cina,” katanya pada sidang akhbar di Ibu pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka di sini hari ini.

Tambahnya, hasil soal siasat awal, suspek turut dipercayai membeli bekalan mercun daripada peniaga tempatan yang berlesen dan modus operandi kumpulan itu adalah mempromosikan mercun serta bunga api tersebut menggunakan media sosial Facebook.

“Suspek akan memberikan katalog kepada pelanggan untuk memilih mercun dan bunga api sebelum pembelian dibuat. Lebih daripada separuh bekalan telah dijual dan kita percaya perancang utama kes ini masih bebas,” katanya.

Abdul Majid berkata, dalam serbuan itu polis turut menemukan pelbagai jenis arak tidak bercukai dan sampel minuman keras itu dihantar ke makmal bagi ujian ketulenan.  

Jelasnya, kesemua suspek kini direman bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 8 Akta Bahan Letupan 1957 dan Seksyen 135 (1) (d) Akta Kastam 1967.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya