275 wira agro di Melaka terjejas banjir, rugi RM2.8 juta

275 wira agro di Melaka terjejas banjir, rugi RM2.8 juta

AHMAD Hamzah (kanan) melihat sangkar ternakan arnab seorang wira agro yang terjejas akibat banjir di Kampung Ramuan China Kecil di Lubok Cina, Melaka. - FOTO/MUHAMMAD SHAHIZAM TAZALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR GAJAH: Seramai 275 wira agro di negeri ini terjejas akibat banjir dengan kerugian dianggarkan berjumlah RM2.8 juta.

Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan I, Datuk Seri Ahmad Hamzah berkata, laporan awal setakat 4 Januari mendapati, daerah Alor Gajah mencatatkan bilangan petani atau penternak paling ramai terjejas iaitu seramai 138 orang, diikuti Melaka Tengah (76 orang) dan Jasin (61 orang).

Menurut beliau, jumlah itu dijangka akan meningkat memandangkan Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) masih menjalankan penilaian.

“Banjir yang melanda telah memusnahkan segala hasil tanaman dan ternakan mereka. MAFI melalui pelbagai jabatan dan agensi masih melaksanakan penilaian bagi mengenal pasti kerugian sebenar yang dialami oleh golongan sasar yang terkesan. 

“Saya yakin Dana Bangkit Semula Keluarga Agro berjumlah RM100 juta dan Tabung Bencana melalui Peruntukan Pembangunan Semula Projek Agro Makanan (PPSPA) berjumlah RM80 juta serta Tabung Bencana Tanaman Padi (TBTP) sebanyak RM12 juta dapat memberi nafas baru kepada wira agro untuk bangkit semula.

“Ia sekaligus akan memastikan sekuriti makanan Keluarga Malaysia terus terjamin dan kelangsungan perusahaan wira agro terbela,” katanya pada program menyantuni wira agro di Kampung Ramuan China Kecil, di sini hari ini.

Terdahulu, Ahmad menyampaikan sumbangan bakul makanan, set selimut dan makanan ternakan kepada 30 penerima yang terjejas banjir melalui inisiatif MAFI Prihatin.

Sementara itu, mengenai kenaikan harga makanan, Ahmad berkata, setakat ini harga makanan masih lagi stabil meskipun negara dilanda musibah banjir yang memusnahkan banyak tanaman serta ternakan.

“Semoga dengan bantuan kerajaan ini akan segera menstabilkan bekalan di pasaran termasuk harganya sekali. Kenaikan harga makanan seperti ikan segar ketika ini adalah disebabkan fenomena cuaca yang tidak menentu,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya