- Utusan Malaysia

 SAMSOLBARI JAMALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Dakwaan Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor diadakan dalam masa terdekat sekadar persepsi semata-mata, kata Setiausaha UMNO Johor, Datuk Samsolbari Jamali.

Bahkan beliau turut menjelaskan bahawa UMNO Johor sendiri tidak pernah mengadakan perbincangan mengenai kemungkinan perkara itu akan berlaku.

Katanya, tumpuan parti ketika ini adalah terus berkhidmat kepada rakyat termasuk dari sudut mengekang penularan Covid-19 dan bencana banjir.

“Kita sendiri belum membuat sebarang perbincangan (mengenai PRN). Itu hanyalah spekulasi, sesiapa sahaja ada hak untuk membuat spekulasi.  Dalam masa sama, UMNO dan Barisan Nasional (BN) seperti biasa akan bekerja terus membantu rakyat sejak berakhirnya Pilihan Raya Umum Ke-14. 

“Tumpuan kini kepada mengekang penularan Covid-19 dan banjir,” katanya mengulas khabar angin akan diadakan PRN Johor dalam masa terdekat ketika ditemui  selepas Program Seminar Pemantapan Jentera PRU-15 anjuran BN Parlimen Kulai, di sini hari ini.

Program diadakan secara tertutup itu disempurnakan Menteri Besar, Datuk Hasni Mohammad. 

Semalam, Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dilaporkan berkata, parti sudah bersiap sedia untuk menghadapi PRN Johor jika Dewan Undangan Negeri (DUN) dibubarkan dalam waktu terdekat.

Media sebelum ini turut melaporkan Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO memberi lampu hijau kepada parti itu untuk bersiap sedia menghadapi PRN Johor bagi mencari mandat baharu mendirikan kerajaan lebih stabil berbanding majoriti satu kerusi ketika ini.

Sementara itu, seorang pemimpin utama Parti Amanah Negara (Amanah) dilaporkan tidak menolak kemungkinan PRN Johor akan diadakan selepas sambutan tahun baru Cina. 

Ditanya mengenai kemungkinan itu (PRN selepas Tahun Baharu Cina), Samsolbari menjelaskan, sehingga kini perkara itu belum diputuskan. – UTUSAN ONLINE 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN