25 individu ditahan bantu siasatan kes kemuka akaun palsu - Utusan Malaysia

25 individu ditahan bantu siasatan kes kemuka akaun palsu

DUA pemilik syarikat yang ditahan bagi membantu siasatan kes mengemukakan penyata bank dengan butiran palsu dibawa keluar dari Kompleks Mahkamah Alor Setar hari ini. - UTUSAN/MOHD. RAFIE AZIMI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan seramai 25 individu bagi membantu siasatan kes mengemukakan penyata akaun palsu beberapa syarikat kepada sebuah syarikat pembersihan bagi memasuki tender bernilai lebih RM60 juta pada 2018 dan 2019.

Menurut sumber, setakat ini sebanyak 25 syarikat sedang disiasat kerana disyaki melakukan kesalahan tersebut.

“SPRM kini masih mencari individu atau syarikat lain yang mungkin terlibat dalam kes itu.

“Ada antara pihak yang dicari itu sudah menukar alamat namun siasatan kini masih berjalan,” katanya dalam satu kenyataan di sink hari ini.

Sehingga kini, seramai 25 individu berusia antara 31 hingga 77 tahun telah ditahan bagi membantu siasatan terhadap kes tersebut dengan 17 daripadanya masih berada di lokap kerana direman manakala lapan lagi dibebaskan dengan jaminan SPRM.

Tambah sumber itu, mereka ditahan reman dalam tempoh  berbeza  antara tiga hingga enam hari bermula semalam dan hari ini.

Jelasnya, kesemua yang ditahan terdiri daripada pengarah dan pemilik syarikat, pengurus, kontraktor serta individu bekerja sendiri.

“Pengemukaan penyata akaun bank beberapa syarikat yang memiliki butiran palsu itu dipercayai dibuat untuk melayakkan syarikat-syarikat berkenaan memasuki tender Penswastaan Pengumpulan Sisa Pepejal dan Pengurusan Pembersihan Awam di Wilayah Utara,” jelasnya.

Sementara itu Pengarah SPRM Kedah, Datuk Shaharom Nizam Abd. Manap ketika dihubungi mengesahkan tangkapan tersebut.

“Seramai 22 individu ditahan kelmarin manakala tiga yang lain ditahan semalam,” katanya.

Menurutnya, kes tersebut kini disiasat mengikut Seksyen 18 Akta SPRM 2009.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya