24,038 unit pembinaan rumah mampu milik diluluskan di Negeri Sembilan - Utusan Malaysia

24,038 unit pembinaan rumah mampu milik diluluskan di Negeri Sembilan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

REMBAU: Sebanyak 24,038 unit rumah mampu milik telah diluluskan kerajaan Negeri Sembilan bagi pembinaaan sejak bulan Jun hingga Oktober tahun lalu.

Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Kesejahteraan Bandar, Perumahan Kerajaan Tempatan negeri, Teo Kok Seong berkata, dari jumlah berkenaan, sebanyak 7,628 unit adalah bagi rumah jenis A iaitu berharga RM80,000 membabitkan golongan pembeli kategori 40 peratus terendah (B40).

Menurutnya, bagi kediaman Jenis B berharga RM250,000 pula, sebanyak 7,303 unit telah diluluskan dan Jenis C berharga RM450,000 sebanyak 9,107 unit telah diluluskan.

“Sejak tahun 2018, kerajaan Negeri Sembilan proaktif dalam memastikan kesemua projek terutamanya projek perumahan yang mendapat kelulusan oleh kerajaan negeri dapat siap dalam tempoh yang telah ditetapkan.

“Kami juga pastikan pelabur yang datang ke negeri ini bukan hanya mendapat keuntungan, bahkan, turut mencipta peluang pekerjaan kepada penduduk setempat,” katanya ketika ditemui sempena Majlis Penyerahan Kunci Fasa 1 dan Pecah Tanah Fasa 2/3 Taman Mawar Ehsan, di sini hari ini.

Yang turut hadir, Pengasas dan Ketua Eksekutif Ehsan Group of Companies, Datuk Abdul Hamid P.V. Abdu.

Projek Taman Mawar Ehsan tersebut terdiri daripada empat fasa dengan pembinaan 238 unit rumah teres dua tingkat dan satu tingkat.

Fasa pertama membabitkan 58 unit rumah telah terjual dalam masa singkat dan siap sepenuhnya lebih awal dari masa yang ditetapkan iaitu pada November tahun lalu berbanding tarikh sepatutnya April tahun ini.

Dalam pada itu, mengenai situasi projek perumahan terbengkalai yang terdapat di negeri ini, Kok Seong menegaskan, kerajaan negeri sentiasa berusaha mencari jalan penyelesaian terbaik bagi masalah projek perumahan ‘sakit’ atau terbengkalai.

“Sebagai contoh, projek perumahan terbengkalai lebih 20 tahun iaitu projek Taman Perpaduan Heights di Kuala Pilah. Kerajaan negeri berjaya menyelesaikannya dengan kaedah pemberi milikan lot tanah kerajaan bagi setiap pembeli.

“Kerajaan negeri juga amat mengalu-alukan mana-mana pemaju untuk bersama-sama dalam membangunkan projek ‘sakit’ di negeri ini,” katanya.

Sementara itu, Abdul Hamid berkata, pihaknya melalui anak syarikat, Ehsan Plant & Property Sdn. Bhd. menetapkan sasaran untuk membina sebanyak 1,200 rumah untuk tahun ini.

Jelasnya, sasaran berkenaan akan dapat dicapai sejajar dengan kejayaan menyiapkan lebih awal projek pembinaan rumah fasa pertama Taman Mawar Ehsan, di sini walaupun berhadapan dengan pandemik Covid-19. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya