23 anggota, pegawai polis  dibuang kerja di Pahang sejak 2020

23 anggota, pegawai polis di Pahang dibuang kerja sejak 2020

RAMLI Mohamed Yoosuf (kiri) menyampaikan sijil penghargaan kepada anggota polis termasuk kakitangan penjawat awam yang berkhidmat di IPK Pahang pada majlis perhimpunan bulanan bagi Januari 2022 di Kuantan, Pahang. - FOTO/DIANA SURYA ABD. WAHAB
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUANTAN: Seramai 23 anggota dan pegawai polis yang berkhidmat di negeri ini dibuang kerja kerana didakwa terlibat melakukan pelbagai kesalahan dalam tempoh dua tahun bermula 2020.

Ketua Polis negeri, Datuk Ramli Mohamed Yoosuf berkata, antara kesalahan tertinggi dilakukan adalah melibatkan kesalahan narkotik membabitkan penyalahgunaan dadah, rasuah, salah guna kuasa (tatatertib) dan beberapa jenayah lain.

Menurutnya, tindakan pembuangan itu dibuat selepas mereka didapati bersalah oleh pihak mahkamah.

“Daripada 23 anggota yang dikaitkan, seramai 14 anggota dan pegawai dibuang kerja pada tahun lalu manakala sembilan orang lagi pada 2020. Angka tersebut adalah sangat membimbangkan kerana melibatkan kesalahan yang dihukum mahkamah sekali gus akan dibuang kerja.

“Selain itu juga, Polis Diraja Malaysia (PDRM) merupakan badan penguatkuasaan undang-undang yang menjadi benteng kepada keselamatan dan ketenteraman masyarakat, sudah pasti ada juga isu lain yang akan menjadi perhatian,” katanya ketika ditemui pemberita selepas majlis perhimpunan bulanan di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pahang, di sini hari ini.

Pada majlis berkenaan, 30 orang anggota termasuk penjawat awam yang berkhidmat di IPK Pahang menerima sijil penghargaan.

Mengulas lanjut, Rambli berkata, semua perilaku melibatkan pelbagai jenayah akan memberi kesan kepada pasukan PDRM dan boleh mencemarkan nama baik institusi keselamatan tersebut.

“Saya tidak boleh terima apabila ada pegawai polis yang menagih dadah dan ini  sesuatu yang sangat malang kerana penyalahgunaan dadah dalam kalangan polis akan meruntuhkan institusi keramat ini yang membanteras jenayah.

“Kita tidak mahu dalam kalangan polis Pahang mempunyai zombi-zombi yang bukan sahaja menyusahkan penyelia dan rakan sekerja mereka tetapi keluarga serta masyarakat sekeliling secara keseluruhannya. Implikasi dadah ini telah kita ketahui amat buruk, risikonya bukan sahaja kepada diri sendiri malah kepada mereka yang terdekat,” katanya.

Tambah beliau, tindakan buang kerja itu diharap dapat dijadikan pengajaran dan peringatan kepada anggota serta pegawai lain yang sedang dalam perkhidmatan supaya tidak terlibat dengan kesalahan berkenaan.

Sementara itu, Ramli turut memaklumkan sebanyak 1,266 kertas siasatan pelbagai kesalahan jenayah komersial telah diselesaikan manakala seramai 1,101 pembekal dan 2,687 pemilik dadah bagi jenayah narkotik berjaya ditangkap, pada tahun lalu.

“Kita tidak boleh berpuas hati sebegitu sahaja, tahun ini kita akan giatkan lagi terutama dalam aspek pencegahan jenayah,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN