14 PATI ditahan seludup masuk Sabah - Utusan Malaysia

14 PATI ditahan seludup masuk Sabah

PATI warga Indonesia yang ditahan berhampiran di Jeti Pemunggahan Balak, Kampung Hidayat, Tawau semalam.-IHSAN ATB 2
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TAWAU: Angkatan Tugas Bersama 2 (ATB 2) sekali lagi berjaya mengagalkan cubaan pendatang asing tanpa izin (PATI) menyeludup masuk perairan Sabah dengan tangkapan 14 PATI warga Indonesia semalam.

Ini adalah kejadian ketiga dilaporkan pada bulan ini selepas dua kejayaan tangkapan dilakukan sebelum ini.

Komander ATB 2, Brigadier Jeneral Abdul Karim Ahmad berkata, kesemua PATI itu ditahan oleh pasukan Tindak Balas Pantas (QRF) pada pukul 3.40 petang di Jeti Pemunggahan Balak, Kampung Hidayat.

“Kehadiran PATI itu disedari pasukan keselamatan yang sedang melakukan rondaan Op Benteng Bersama di kawasan tersebut sebelum menyedari sebuah bot dalam keadaan mencurigakan.

“Bot tersebut kemudian beredar secara tergesa-gesa selepas menurunkan kesemua PATI di daratan. Pasukan QRF kemudian mengepung kesemua PATI namun, tiga lelaki dewasa cuba melarikan diri.

“Tindakan pantas pasukan QRF berjaya menahan semula tiga lelaki dewasa tersebut,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Abdul Karim berkata, pemeriksaan awal mendapati 14 PATI berusia tiga hingga 69 tahun itu merupakan warga Indonesia dan tidak memiliki sebarang dokumen pengenalan diri yang sah.

“Mereka cuba memasuki perairan Tawau secara haram dengan menaiki bot yang diatur oleh ejen dari Pulau Sebatik, Indonesia menuju ke daerah ini dan seterusnya akan diambil oleh ejen yang berada di Tawau untuk dihantar ke destinasi ditetapkan,” katanya.

Mengulas lanjut katanya, Pusat Operasi Wilayah Bersama (POWB) ATB 2 turut melaporkan kejadian itu kepada Pusat Operasi Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM) bagi melancarkan proses tangkapan tersebut.

Kesemua PATI dibawa menaiki trak tentera ke Ibu Pejabat Polis Daerah untuk menjalani saringan Covid-19 dan tindakan lanjut.

Kes disiasat di bawah Seksyen 6 (3) Akta Imigresen 1959/63 atas kesalahan tidak mempunyai pas atau dokumen pengenalan diri yang sah semasa berada di Malaysia.

Tambah beliau, kejayaan ini membuktikan ATB 2 sentiasa komited dan berada di standard yang tertinggi dalam memperkasa dan memperkemaskan kawalan keselamatan sempadan negara. -UTUSAN ONLINE

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya