PETALING JAYA: Setiausaha Agung PKR menafikan penghasilan dan penyebaran poster yang tular di media sosial menggunakan identiti media menyerupai bahan rasmi pejabatnya.
Menerusi hantaran di Facebook hari ini, Fuziah Salleh berkata, poster berkenaan bukan dikeluarkan, direka atau diluluskan oleh pejabatnya walaupun menggunakan template serta identiti media yang menyerupai bahan rasmi.
Katanya, kandungan poster tersebut juga tidak mewakili pendirian rasmi beliau mahupun pejabatnya.
“Saya memandang serius tindakan penggunaan bahan dan identiti media tanpa kebenaran kerana ia boleh mengelirukan orang ramai serta menimbulkan salah faham,” katanya.
Sehubungan itu, beliau menasihatkan orang ramai supaya mendapatkan maklumat rasmi hanya melalui saluran media sosial dan platform rasmi miliknya serta pejabatnya. – UTUSAN










