PETALING JAYA: Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi mengucapkan takziah kepada seluruh ahli keluarga Naib Ketua UMNO Bahagian Paya Besar, Datuk Umar Arbain yang meninggal dunia malam tadi.
Menerusi hantaran Facebook hari ini, Ahmad Zahid yang juga Presiden UMNO berkata, pemergian Allahyarham satu kehilangan besar kepada UMNO Bahagian Paya Besar serta seluruh warga UMNO Pahang.
Beliau menyifatkan Allahyarham sebagai seorang pemimpin parti yang setia dan sentiasa dekat dengan masyarakat sepanjang perkhidmatannya.
“Saya dan seluruh kepimpinan UMNO merakamkan ucapan takziah kepada seluruh ahli keluarga Allahyarham serta keluarga UMNO Paya Besar atas ujian kehilangan ini.
“Saya mendoakan semoga Allah SWT mengampuni segala dosa Allahyarham, menerima segala amal kebaikannya dan menempatkan rohnya dalam kalangan orang yang beriman,” katanya. – UTUSAN










