10,000 pekerja asing Indonesia dibawa masuk Februari - Utusan Malaysia

10,000 pekerja asing Indonesia dibawa masuk Februari

Indonesia bersetuju melaksanakan projek rintis sejumlah 10,000 Pekhidmat Domestik Indonesia (PDI) untuk sektor perladangan di Malaysia yang dijangka dilaksana bulan depan.-GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Malaysia dan Indonesia bersetuju melaksanakan projek rintis pengambilan sejumlah 10,000 Pekhidmat Domestik Indonesia (PDI) dan dijangka dilaksanakan bulan depan.

Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M. Saravanan berkata, projek rintis ini dilaksanakan dalam masa satu minggu selepas memorandum persefahaman (MoU) berhubung Pengambilan dan Penempatan PDI ditandatangani pada 7 dan 8 Februari ini di Bali, Indonesia. 

Katanya, pelaksanaan projek rintis ini amat penting dan signifikan untuk menilai keberkesanan pelaksanaan MoU dan seterusnya menambah baik  sebarang kelemahan yang timbul.

“Kerajaan Indonesia juga bersetuju membenarkan kemasukan 10,000 tenaga kerja warga Indonesia untuk sektor perladangan sebagai permulaan kepada pengambilan 32,000 pekerja warga asing dalam sektor perladangan secara pengecualian khas sebagaimana keputusan Mesyuarat Jemaah Menteri pada 7 April tahun lalu,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, keputusan ini susulan pertemuan dengan rakan sejawatnya, Menteri Ketenagakerjaan Republik Indonesia, Ida Fauziyah di Jakarta, semalam yang menyaksikan kedua-dua pihak bersetuju dengan MoU sebagaimana yang dibincangkan terdahulu. 

Saravanan berkata, persetujuan ini termasuklah isu-isu utama seperti One Maid One House, One Channel System dan gaji PDI. 

Beliau berkata, perbincangan berhubung One Maid One House dipersetujui untuk menggantikan cadangan One Maid One Task

Katanya, MoU itu menggariskan satu PDI boleh digajikan bagi isi rumah tidak melebihi enam orang. 

“Sementara One Channel System dipersetujui kedua pihak sebagai saluran tunggal kemasukan PDI ke Malaysia.

“Isu berhubung struktur kos pengambilan akan dikaji setiap enam bulan bagi memastikan ia seiring dengan perkembangan semasa mengambil kira antaranya seperti kos penerbangan dan kuarantin,” katanya. 

Sebelum ini, Menteri Kanan Kerja Raya, Datuk Seri Fadillah Yusof memaklumkan, perjanjian bekalan tenaga buruh dari Indonesia bakal dipercepatkan bagi menampung keperluan industri pembinaan negara.

Katanya, perbincangan mengenai usaha untuk membawa masuk tenaga buruh dari Indonesia dan Myanmar sebelum ini dibuat bersama Kementerian Sumber Manusia (KSM) serta Kementerian Dalam Negeri (KDN).

“Malah, MoU dengan Myanmar sudah ditandatangani manakala MoU dengan Indonesia patut pada Februari, tetapi hasil perbincangan dengan KDN dan KSM, Malaysia mahu mempercepatkan kerana industri pembinaan negara terjejas ekoran kekurangan tenaga buruh asing.

“Justeru, dua kementerian ini akan pergi ke Indonesia untuk memuktamadkan MoU bagi memastikan segenap projek membabitkan sektor pembinaan di Malaysia berupaya kembali rancak,” katanya. 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN