“Memang gila! Kerana Budin, ramai betul peminat saya. Bukan perempuan, tetapi kaum lelaki!”
Besar nada tidak percaya pelakon, Kamal Adli, apabila membuka bicara mengenai watak Budin, lelaki yang dilakonkannya dalam naskhah drama Dia Imamku arahan Feroz Kader dan ditulis oleh
Wan Mahani Wan Hassan itu. Baginya, dalam lambakan drama yang pernah dilakonkan olehnya sebelum ini, entah mengapa baru kali inilah fenomena luar biasa itu terpalit kepadanya.
Bayangkan, betapa hebatnya penangan Budin, jumlah pengikutnya di media sosial juga mendadak meningkat.
Itu belum lagi jika dibicara mengenai golongan lelaki yang bersembang di kedai kopi yang mana inti cerita mereka tidak lagi sekadar bualan kosong, tetapi mereka saling mengupas mengenai Budin yang dianggap benar-benar mewakili kaum lelaki di Malaysia ini.
“Dengar macam percaya tak percaya saja bukan? Tetapi ini yang diberitahu kepada saya oleh kebanyakan peminat yang mengikuti drama itu sejak dari awal.
“Kalau jumpa saya di mana-mana pun, mereka tak panggil saya Kamal dah, mereka panggil Budin. Saya rasa, ramai kaum lelaki agaknya berasa terkait dengan watak Budin itu.
“Ramai rasa terinspirasi sebab jika dilihat pada naskhah itu, Budin ini dipaparkan sebagai seorang lelaki yang sangat penyabar. Sampaikan para isteri pun turut terinspirasi, mahu sikap suami mereka sama macam Budin,”katanya.
Mengulas sisi watak itu, kata pelakon berusia 39 tahun ini, ada ketika, semasa menjadi ‘Budin’, dia benar-benar berasa lelaki itu menjengkelkan.
“Sebenarnya, saya betul-betul rasa si Budin sangatlah tidak logik. Ada ke lelaki yang betul-betul penyabar macam dia? Terlalu baik, tapi saya tak katalah ia tidak bagus.
“Bayangkan ada yang beritahu saya, dia menangis kerana naskhah itu. Mendengarkan perkara itu, saya rasa sangat gembira dah sebab ia menunjukkan hasil kerja kita orang nampak, orang boleh rasa.
“Kalau ada babak Budin kena marah atau apa, peminat dan penonton yang kaum lelaki ini pula kata ‘jangan risau Budin, kami di belakang awak.
“Pergi mana-mana orang sebut ‘jangan kacau ketua kami’. Betul-betul gila penangan Budin ini. Kiranya Budin ini sudah macam mewakili seluruh kaum lelaki lah agaknya,”selorohnya.

TAMBAH ANAK?
Dalam pada itu, melayangkan pertanyaan kepada Kamal mengenai perancangannya untuk menambah zuriat, pelakon ini tidak menolak andai ada rezeki itu.
Bagaimanapun, buat masa ini, dia dan Uqasha memilih untuk memberi sepenuh tumpuan kepada anak sulung mereka, Hawra Uqaira.
“Memang ada perancangan, cuma bukan dalam masa terdekat. Buat masa sekarang, kami mahu fokus pada Hawra dulu.
“Bila dia sudah besar sikit, barulah mungkin kami fikir untuk tambah lagi. Insya-Allah, mungkin dalam dua atau tiga tahun akan datang,”katanya.
Menurut Kamal, keputusannya itu turut mengambil kira keadaan isterinya yang kini sedang dalam proses menyesuaikan diri semula selepas melahirkan anak.
“Uqasha pun baru dapat balik bentuk badannya, tengah kembali pulih,”ujarnya.
Tambah Kamal, sebagai pasangan suami isteri, mereka saling menyokong impian dan keinginan masing-masing.
Kamal juga memahami kerinduan Uqasha terhadap dunia seni yang telah lama ditinggalkan seketika demi menjalani peranan sebagai ibu.
“Dia rindu hendak kembali ke set, rindu suasana kerja. Jadi tak apalah, kita beri ruang dulu. Bila semuanya sudah stabil, baru kita fikir soal anak lagi.
“Bagi saya dan Uqasha, soal rezeki anak adalah sesuatu yang kami pandang dengan penuh kesyukuran, namun biarlah semuanya berlaku pada waktu yang paling sesuai.
“Apa yang lebih utama kini, kami menikmati momen-momen kecil bersama Hawra,”katanya.

TIADA YANG SEMPURNA
Mengaitkan dirinya dengan karakter Budin, secara jujur, Kamal mengakui bahawa dalam sesebuah perkahwinan, tidak wujud istilah kesempurnaan mutlak.
Bahkan, perkahwinannya dengan aktres popular Uqasha Senrose juga tidak terkecuali daripada cabaran yang menuntut kefahaman, kesabaran, dan komunikasi yang berterusan.
“Dalam rumah tangga, kita tidak boleh harapkan semuanya akan berjalan lancar setiap masa. Hendak saling memahami pun bukanlah perkara yang mudah. Bahkan ujian itu juga akan berada di tahap mencabar apabila dikurniakan cahaya mata.
“Bila sudah ada anak, situasi tu berubah. Kadang-kadang kita terasa juga bila isteri banyak luangkan masa dengan anak, kita pula terasa macam disisihkan,” luahnya jujur.
Menurut Kamal, perasaan sebegini lumrah dalam kalangan pasangan suami isteri.
Ada kalanya, lelaki juga boleh berasa seolah-olah ‘tersingkir’ apabila perhatian isteri lebih tertumpu kepada anak.
“Situasi ini buat kita jadi macam budak-budak balik. Tapi sebenarnya itu pun romantik juga, sebab kita masih perlukan kasih sayang darpada pasangan. Cuma, kita kena banyak sabar,”katanya.
Kamal juga tidak menolak komunikasi juga penting dalam rumah tangga.
“Ramai orang kata komunikasi itu kunci, tapi ramai juga yang tak amalkan. Bagi saya, itu memang paling penting. Jangan pendam.
“Kalau ada benda yang kita sebagai pasangan tak puas hati, cakap terus terang. Masa tengah tenang, berbincanglah. Tetapi bukan ketika masing-masing tengah marah,”ujarnya.
Tambah Kamal, dia juga percaya pendekatan yang penuh kelembutan dan rasional adalah asas dalam menyampaikan teguran atau meluahkan ketidakpuasan antara sesama pasangan.
“Kalau mahu tegur pun, tegurlah dengan nada lembut. Tanya dulu, sahihkan sesuatu sebelum terus tuduh. Kalau kita terus serang, komunikasi akan jadi hambar dan tegang,”katanya.
Menyerlahkan sisi kematangannya sebagai seorang lelaki bergelar suami, pelakon ini juga mengingatkan dalam sesebuah perkahwinan, tidak seharusnya wujud siapa yang lebih berkuasa atau siapa yang perlu ‘menang’.
Sebaliknya, ia adalah soal saling melengkapi dan bertolak ansur.
“Tak boleh seorang hendak kawal semua. Kena ada give and take. Jangan fikir kita suami, kita boleh paksa semua ikut cara kita. Bukan macam itu,”tuturnya.
Meskipun Kamal mengakui dirinya jauh daripada sempurna dalam memainkan peranan sebagai suami, dia bagaimanapun sentiasa berusaha menjadi pasangan yang lebih baik dari sehari ke sehari.
“Saya cakap ini bukan sebab saya pro sangat. Saya pun masih belajar,” ujarnya.










