Wujud program mentor-mentee bantu PBT terkebelakang - Utusan Malaysia

Wujud program mentor-mentee bantu PBT terkebelakang

REEZAL Merican Naina Merican dan Chow Kon Yeow pada majlis Perasmian Mesyuarat Agung Mala Ke-20 di Pulau Pinang hari ini. -UTUSAN/MUHAMMAD IQBAL HAMDAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGETOWN: Persatuan Pihak Berkuasa Tempatan Malaysia (Mala) disaran mewujudkan program mentor-mentee Sebagai perkongsian dan jalinan amalan terbaik dalam kalangan pihak berkuasa tempatan (PBT). 

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berkata, menerusi program itu, PBT yang memiliki pengurusan dan pencapaian terbaik boleh berkongsi pengalaman dan kepakaran dengan PBT lain. 

Malah katanya, insentif-insentif tertentu mungkin boleh disediakan kepada PBT yang mengambil langkah melaksanakan konsep pemakaran itu dalam membantu PBT yang jauh terkebelakang.

“Ketika ini ada kalangan PBT yang terkehadapan (prestasi), ada yang sederhana dan ada yang terkebelakang. 

“Malah, dari keseluruhan PBT hanya 97 yang menjadi anggota Mala manakala kira-kira 54 buah lagi masih belum menjadi ahli, maka semestinya satu indeks prestasi (KPI) Mala juga untuk menjadi badan inklusif adalah dengan menarik penyertaan kesemua 151 PBT menjadi anggota,” katanya. 

Beliau berucap pada majlis Perasmian Mesyuarat Agung Mala Ke-20 di sini hari ini yang turut dihadiri Ketua Menteri, Chow Kon Yeow. 

Dalam pada itu Reezal Merican berkata, inisiatif lain yang boleh dilaksanakan di peringkat PBT juga adalah peranan sebagai bank tempatan seperti yang telah dilaksanakan di beberapa buah negara ketika ini. 

Jelas beliau, inisiatif itu boleh digunakan oleh PBT sebagai sumber pembiayaan bagi tujuan pelaburan yang dibuat di peringkat PBT tanpa perlu membuat permohonan kepada bank atau mengharapkan geran tahunan daripada Kerajaan Pusat. 

“Ini adalah antara perkara yang mungkin boleh dilaksanakan dan Mala juga boleh menjadi pencetus kepada idea-idea inovasi dan saya di peringkat kementerian sedia mendengarnya. 

“Jika ada idea-idea di luar sana yang bagus untuk dilaksanakan kenapa tidak dilakukan? 

“Malah, kementerian turut memperuntukkan sebanyak RM200,000 kepada Mala untuk diguna pakai untuk aktiviti-aktiviti berkaitan inovasi ini,” katanya.- UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN