Wujud pemborong koperasi bantu kerajaan jual barangan pada harga murah - PM - Utusan Malaysia

Wujud pemborong koperasi bantu kerajaan jual barangan pada harga murah – PM

ISMAIL SABRI Yaakob (tengah) bertanyakan sesuatu kepada kanak-kanak yang hadir pada majlis perasmian Mesyuarat Agong Koperasi Pekebun Kecil Daerah Bera di Dewan Masjid Nurulsallam, Kampung Batu Papan di Bera, Pahang. - UTUSAN/SHAIKH AHMAD RAZIF
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BERA: Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob meminta gerakan koperasi di negara ini mewujudkan pemborong koperasi bagi membantu kerajaan menjual harga barangan pada harga murah dan berpatutan. 

Perdana Menteri berkata, beliau akan berbincang dengan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Tan Sri Noh Omar dan Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (Angkasa) berhubung perkara itu.

Kata beliau, jika diwujudkan, pemborang koperasi boleh membeli barangan, umpamanya beras secara pukal dan selepas itu dibekalkan kepada semua kedai runcit koperasi di seluruh negara. 

Beliau berkata, pada ketika ini terdapat lebih 1,500 kedai runcit koperasi seluruh negara dan 103 di negeri ini. 

“Kalau ini dapat dilakukan, harga di kedai koperasi dapat diturunkan bukan sahaja untuk ahlinya malah memberi manfaat kepada penduduk setempat. 

“Bayangkan kalau kedai koperasi dapat jual harga sehingga 20 peratus diskaun, tentunya ramai pengguna akan beli di kedai-kedai koperasi,” katanya ketika berucap merasmikan Mesyuarat Agong Koperasi Pekebun Kecil Daerah Bera di Dewan Masjid Nurulsallam, Kampung Batu Papan, di sini hari ini. 

Sebelum ini, Presiden Angkasa, Datuk Abdul Fattah Abdullah dilaporkan sebagai berkata, kerajaan diminta jangan pilih kasih sebaliknya turut memberikan peluang serta tanggungjawab kepada gerakan koperasi terlibat dalam bidang pengeluaran dan pemasaran barang.

Abdul Fattah berkata, kerajaan seolah-olah kurang yakin dengan pengurusan koperasi walaupun sudah menghampiri usia 100 tahun, tetapi gerakan itu mampu dan berdaya saing dalam bidang pengeluaran dan pemasaran barang khususnya ketika berdepan tempoh pandemik Covid-19.

Mengulas lanjut, Ismail Sabri berkata, di seluruh negara, terdapat tujuh juta ahli koperasi dan langkah itu pasti dapat membantu rakyat terutama ahli gerakan tersebut membeli dengan harga murah. 

“Saya harap selain tindakan kerajaan, gerakan koperasi pun boleh membantu kerajaan dalam menurunkan harga barangan,” katanya. 

Dalam pada itu, beliau berkata, pelbagai perancangan sedang dilakukan dalam menangani isu kenaikan harga barangan supaya rakyat tidak terus terbeban.

Menurutnya, sebagai kerajaan, pihaknya mesti bertanggungjawab memastikan tindakan sewajarnya diambil supaya harga barangan dapat diturunkan kembali.

“Kerajaan tidak akan berdalih dan memberikan pelbagai alasan, kita akan cari apa sahaja jalan untuk pastikan harga barang dapat diturunkan,” katanya. – UTUSAN ONLINE 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN