WCB lindungi Harimau Malaya, ekosistem - Utusan Malaysia

WCB lindungi Harimau Malaya, ekosistem

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Penubuhan Biro Kawalan Jenayah Hidupan Liar (WCB) adalah bagi melindungi Harimau Malaya daripada terus terancam akibat aktiviti-aktiviti buruan haram yang mana ia bakal membawa keseimbangan ekosistem negara semula.

Pengarah Eksekutif World Wildlife Fund (WWF) Malaysia, Sophia Lim berkata, pengumuman Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mazlan Lazim untuk menubuhkan WCB adalah sesuatu yang baik dan WWF memberi sokongan penuh.

Menurut beliau, pengumuman itu memberi harapan tinggi dalam perjuangan melindungi Harimau Malaya dan satu langkah baik memerangi perburuan dan pemerdagangan hidupan liar.

“Kami merakamkan penghargaan kepada Kementerian Tenaga dan Sumber Asli (KeTSA) serta Perhilitan atas sokongan besar dalam melawan jenayah hidupan liar.

“Dengan jumlah Harimau Malaya kurang daripada 200, ia amat menggalakkan untuk melihat perkembangan usaha untuk melindungi haiwan tersebut beserta habitat-habitat liar lain,” katanya dalam satu kenyataan.

Terdahulu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar menyatakan bahawa negara bakal kehilangan Harimau Malaya dalam tempoh lima hingga 10 tahun jika tindakan drastik tidak diambil.

Sebelum ini juga, pada bulan Jun, Kabinet setuju melaksanakan sembilan tindakan strategik pemuliharaan Harimau Malaya bagi tempoh 10 tahun dari 2021 hingga 2030 dan Sebanyak RM450 juta telah diperuntukkan untuk inisiatif alam sekitar dan biodiversiti dalam Belanjawan 2022 yang dibentangkan pada Oktober.

Sophia berkata, penubuhan Pasukan Petugas Kebangsaan bagi Konservasi Harimau Malaya (MyTTF) bagi mencari cara-cara meningkatkan populasi harimau di alam liar adalah satu usaha yang ditunggu-tunggu sekian lama.

Jelasnya, penubuhan MyTTF adalah menyerupai usaha-usaha yang diambil oleh negara luar seperti Nepal dan India pada awal tahun 1970-an dan ia membuahkan hasil walaupun mengambil masa.

“Kita bukan sahaja melindungi Harimau Malaya malah turut melindungi pelbagai perkhidmatan ekosistem yang diberikan oleh hutan seperti air tawar, udara bersih, tebatan banjir dan semula jadi lain yang mendatangkan manfaat kepada masyarakat,” ujarnya. – UTUSAN ONLINE 

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya