PETALING JAYA: Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi UMNO (MKT) menzahirkan rasa dukcaita terhadap rayuan kes Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkenaan tujuh pertuduhan membabitkan penyelewengan dana RM42 juta milik SRC International Sdn. Bhd.
Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, keputusan itu adalah antara keputusan yang dibuat pada mesyuarat MKT UMNO yang diadakan semalam dan dipengerusikan oleh Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi.
“Tanpa hilang hormat kepada keputusan Mahkamah Rayuan tersebut, Mesyuarat (MKT) berharap agar keputusan rayuan beliau di Mahkamah Persekutuan kelak dapat diadili dengan saksama.
“Ini kerana ramai beranggapan bahawa beberapa tokoh yang dituduh selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) adalah kerana bermotifkan pendakwaan politik.
“UMNO percaya bahawa sistem kehakiman negara perlulah sentiasa menjunjung prinsip keadilan yang tinggi,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Semalam, Mahkamah Rayuan Putrajaya sebulat suara mengekalkan sabitan salah atas tujuh pertuduhan yang dikenakan terhadap Najib membabitkan tiga pertuduhan pecah amanah jenayah, tiga pertuduhan pengubahan wang haram dan satu pertuduhan menyalahgunakan kuasa melibatkan dana syarikat itu.
Panel tiga hakim yang diketuai Datuk Abdul Karim Abdul Jalil dan bersidang bersama-sama Datuk Has Zanah Mehat dan Datuk Vazeer Alam Mydin Meera sebulat suara memutuskan demikian selepas mendapati rayuan Ahli Parlimen Pekan itu tidak mempunyai merit.
Mahkamah turut mengekalkan hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta yang dikenakan terhadap Najib sebelum ini atas alasan hukuman yang dikenakan adalah wajar dan bersesuaian.
Menurut Ahmad, mesyuarat MKT itu juga membuat keputusan untuk mengadakan Perhimpunan Agung UMNO 2021 di Pusat Dagangan Kuala Lumpur pada 13 hingga 15 Januari 2022 secara hibrid iaitu gabungan kaedah bersemuka dan maya.
“Ini disebabkan prosedur operasi standard (SOP) penjarakkan masih perlu dipatuhi. Keterangan lanjut mengenai perhimpunan itu akan dimaklumkan kemudian.
“Selain itu, mesyuarat Perwakilan empat Peringkat UMNO iaitu Wanita, Pergerakan Pemuda, Pergerakan Puteri dan UMNO Bahagian akan diadakan pada 11, 12 dan 18 Disember depan di seluruh negara.
“Adalah diharapkan agar mesyuarat tersebut berjalan lancar dan SOP Covid-19 yang sewajarnya sentiasa dipatuhi. Lebih 20,000 Persidangan UMNO Cawangan telah pun selesai diadakan pada 15 Oktober hingga 30 November lepas dengan jayanya,” ujarnya.
Tambah beliau, MKT UMNO juga mengucapkan berbanyak terima kasih kepada semua jentera tempatan dan negeri angkat yang melaksanakan tugas cemerlang pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.
“MKT juga merakamkan ucapan setinggi-tinggi terima kasih kepada rakyat dan pengundi Melaka di atas kepercayaan memberi kemenangan kepada Barisan Nasional (BN) sebanyak 75 peratus atau tiga perempat kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dalam PRN Melaka lepas.
“MKT berharap agar kepimpinan kerajaan negeri Melaka yang baharu dapat melaksanakan tugas sehabis baik bagi memastikan kemajuan rakyat negeri Melaka,” jelasnya. – UTUSAN ONLINE