NARATHIWAT (THAILAND): Pihak berkuasa Thailand menahan tiga lagi suspek disyaki terlibat dalam serangan di sebuah stesen minyak di Wilayah Pattani pada 11 Januari lalu.
Jurucakap Pusat Operasi Keselamatan Dalam Negeri Wilayah 4 (ISOC 4) berkata, ketiga-tiga suspek berusia antara 29 tahun dan 34 tahun itu ditahan dalam operasi khas di tujuh kawasan di Wilayah Yala dan Pattani, Khamis lalu.
Katanya, operasi serentak itu bermula kira-kira pukul 4 pagi waktu tempatan melibatkan lebih 50 anggota pasukan keselamatan yang terdiri daripada polis dan tentera.
“Daripada tujuh kepungan yang dilaksanakan hasil maklumat awam, kami menahan tiga suspek iaitu masing-masing dua di Pattani dan seorang lagi di Yala. Ketiga-tiga suspek ditahan di rumah masing-masing.
“Operasi ini adalah usaha penguatkuasaan undang-undang yang sistematik, menekankan ketelusan dan pematuhan kepada prinsip hak asasi manusia.
“Ketika operasi dijalankan, kami mendapat kerjasama pemimpin tempatan untuk melindungi orang awam yang tidak bersalah dan membina keyakinan terhadap keselamatan di kawasan terlibat,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia, semalam.
Jurucakap itu berkata, ketiga-tiga suspek kini ditahan ke Kem Ingkayutthaborihan, Mukim Bo Thong, Daerah Nong Chik, Pattani untuk siasatan lanjut.
Ujarnya, pihak berkuasa turut merampas beberapa barang bukti daripada ketiga-tiga suspek untuk pemeriksaan forensik bagi mengenal pasti hubungan dengan ahli kumpulan lain dan merancang serangan pada masa depan.
Beliau berkata, operasi memburu mereka yang disyaki terbabit dalam kejadian 11 Januari lalu terus diperhebat di ketiga-tiga wilayah.
Mengenai kemungkinan sesetengah daripada individu terlibat melarikan diri ke Malaysia, beliau berkata, pasukan keselamatan Thailand telah meminta pihak berkuasa Malaysia memberi kerjasama dalam hal itu. – utusan











