Panduan harga buah tandan segar untuk pekebun

Panduan harga buah tandan segar untuk pekebun

GAMBAR HIASAN.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Harga buah tandan segar (BTS) kelapa sawit sering menjadi topik utama dalam kalangan pekebun, khususnya apabila berlaku turun naik pasaran.

Bagi sesetengah pekebun, pe­rubahan harga ini kadangkala menimbulkan kekeliruan dan salah faham, terutamanya apabila hasil yang dihantar ke kilang dikenakan potongan atau dibayar pada kadar yang berbeza.

Hakikatnya, harga BTS tidak ditentukan secara rawak, sebaliknya bergantung kepada pelbagai faktor teknikal dan pasaran yang saling berkait.

Di sini disediakan Panduan harga BTS untuk pekebun.

  1. Harga BTS

Harga BTS ialah harga belian buah tandan segar kelapa sawit yang ditetapkan oleh pihak kilang atau diumumkan melalui mekanisme rasmi.

Harga ini biasanya dinyatakan dalam unit ringgit Malaysia per kilogram (RM/kg) atau ringgit Malaysia per tan (RM/tan).

2. Harga BTS tidak tetap

Harga BTS tidak tetap dan boleh berubah mengikut mingguan atau bulanan bergantung kepada keadaan pasaran.

Pekebun perlu memahami fak­tor penentuan harga bagi me­ngelakkan kerugian dan salah faham semasa menjual hasil.

  1. Faktor Utama yang mempengaruhi harga BTS
  • 3.1 Harga minyak sawit mentah (MSM)

Harga MSM merupakan faktor paling utama yang menentukan harga BTS.

Apabila harga MSM di pasaran dunia meningkat, harga BTS juga akan meningkat.

Penurunan harga MSM secara global akan memberi kesan langsung kepada harga BTS di peringkat tempatan.

  • 3.2 Kadar Perahan Minyak (OER)

OER ialah peratus minyak yang boleh diekstrak daripada BTS.

BTS yang masak sempurna dan segar mempunyai OER yang lebih tinggi.

OER yang tinggi akan meningkatkan nilai TBS dan memberi pulangan lebih baik kepada pekebun.

  • 3.3 Kualiti dan tahap kematangan buah

Buah yang masak sempurna mempunyai warna jingga kemerahan dan mengeluarkan brondolan secara semula jadi.

Buah mentah, terlalu masak, atau rosak akan menurunkan kualiti BTS.

Kilang akan menilai kualiti ini sebelum menetapkan harga akhir yang dibayar.

  • 3.4 Umur pokok kelapa sawit

Pokok kelapa sawit yang berumur antara lapan hingga 15 tahun menghasilkan buah yang paling berkualiti.

Pokok muda (bawah tiga tahun) biasanya menghasilkan buah kecil dan OER lebih rendah.

Pokok tua pula boleh mengalami penurunan hasil dan kualiti buah.

4. Kriteria BTS yang diterima oleh kilang

BTS mestilah dipetik pada tahap masak sempurna.

Jumlah brondolan yang gugur secara semula jadi adalah sekitar lima hingga 10 biji.

Panjang tangkai tidak melebihi lima sentimeter.

BTS mestilah bersih daripada tanah, pasir, daun dan bahan asing lain.

Buah tidak boleh disimpan terlalu lama (ideal dihantar dalam tempoh 24 jam selepas penuaian).

  1. Potongan harga BTS

Kilang berhak membuat potongan harga sekiranya BTS tidak memenuhi spesifikasi.

Potongan biasanya dikenakan atas sebab buah mentah atau terlalu masak, BTS busuk atau rosak tangkai terlalu panjang, kandungan kotoran yang tingg, buah lama atau fermentasi

Jumlah potongan boleh mencecah antara lima peratus hingga 20 peratus bergantung kepada tahap kualiti BTS.

  1. Cara pekebun dapat harga BTS baik

Pekebun perlu melakukan penuaian mengikut piawaian kematangan yang ditetapkan.

Mereka perlu menghantar BTS ke kilang secepat mungkin selepas penuaian.

Pekebun perlu mengasingkan buah mentah daripada buah masak semasa penuaian.

Pekebun perlu mengamalkan pengurusan ladang yang baik termasuk pembajaan dan kawalan perosak.

Pekebun menggunakan pengangkutan yang bersih dan sesuai bagi mengelakkan kerosakan BTS.

  1. Rujukan harga rasmi BTS

Harga rujukan BTS biasanya diumumkan oleh pihak kilang, koperasi pekebun serta agensi kerajaan berkaitan

Harga boleh berbeza mengikut negeri atau daerah, umur tanaman. Kualiti dan OER

Pekebun digalakkan menyemak harga semasa sebelum menjual BTS.

  1. Peranan koperasi dan ejen

Koperasi pekebun dapat membantu BTS dalam kuantiti besar.

Pihak koperasi juga boleh berunding harga yang lebih baik dengan kilang

Selain itu, cara ini dapat mengurangkan kos pengangkutan

Malah, pekebun juga dinasihatkan untuk berurusan dengan ejen yang berlesen dan dipercayai.

Mereka juga perlu mengelakkan menjual kepada pihak yang tidak telus atau tidak menyediakan rekod jualan.

  1. Rekod jualan dan ketelusan timbangan

Pekebun disarankan menyimpan rekod setiap transaksi jualan BTS termasuk tarikh, berat, harga dan nama kilang atau ejen.

Pastikan timbangan dilakukan secara telus dan disaksikan oleh pekebun atau wakil mereka.

Slip timbangan atau resit jualan hendaklah disimpan sebagai rujukan sekiranya berlaku pertikaian harga atau berat.

Rekod yang baik membantu pekebun menilai prestasi ladang dan membuat perbandingan harga antara pembeli.

  1. Perancangan kewangan dan pengurusan risiko harga

Pekebun perlu memahami bahawa turun naik harga BTS adalah normal dan perlu merancang kewangan dengan bijak.

Sebahagian pendapatan boleh disimpan sebagai rizab semasa harga tinggi bagi menghadapi tempoh harga rendah.

Pekebun digalakkan mempelbagaikan sumber pendapatan sampingan jika mampu.

Ilmu asas pasaran sawit dan perkongsian maklumat melalui koperasi atau agensi berkaitan dapat membantu pekebun membuat keputusan jualan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN