'UMNO buka pintu mana-mana yang nak pulang kembali berjuang bersama parti' - Utusan Malaysia

‘UMNO buka pintu mana-mana yang nak pulang kembali berjuang bersama parti’

BUNG MOKTAR RADIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA KINABALU: UMNO Sabah mengamalkan dasar buka pintu untuk menerima mana-mana individu yang ingin kembali berjuang bersama UMNO.

Pengerusi Perhubungan UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin berkata, langkah itu seiring dengan usaha mengukuhkan lagi kedudukan UMNO Sabah menerusi penubuhan lebih banyak cawangan.

Timbalan Ketua Menteri itu berkata, ketika ini pendaftaran keahlian dan jentera parti perlu diperkemaskan dan dimantapkan sebelum pengumuman tarikh pembubaran Parlimen dan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

Justeru, beliau mengingatkan kepimpinan UMNO di semua peringkat di Sabah untuk mengekalkan momentum gerak kerja masing-masing bagi menghadapi PRU-15 yang semakin hampir.

“Kita perlu terus bekerja kerana parti kita (UMNO) mempunyai organisasi yang lengkap daripada peringkat bahagian, Wanita, Pemuda, Puteri dan cawangan. Jika komponen ini digerakkan secara bersepadu dan teratur, ia akan memudahkan lagi gerak kerja kita untuk menghadapi PRU-15.

“Momentum kita ketika ini cukup baik dan dalam beberapa siri pilihan raya kecil, pilihan raya negeri (PRN) yang terkini PRN Melaka, kita mencapai kejayaan cemerlang.

“Namun, kita tidak boleh leka dengan kejayaan tersebut sebaliknya, kita perlu terus bekerja dan mendekati ahli di peringkat akar umbi,” katanya semasa merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian baru-baru ini.

Ahli Parlimen Kinabatangan itu berkata, kejayaan dalam PRK dan PRN yang lepas telah mengembalikan semangat ahli-ahli UMNO untuk meneruskan perjuangan.

Katanya, kejayaan yang dikecapi itu membuktikan UMNO/Barisan Nasional (BN) masih relevan dan menjadi pilihan rakyat.

Jelas beliau, jentera UMNO/BN perlu berada di hadapan walaupun berdepan pelbagai cabaran. 

Bung Moktar yang juga Ahli Majlis Tertinggi UMNO turut mengingatkan pemimpin UMNO di semua peringkat untuk terus turun padang mendekati ahli dan rakyat bagi menyelami dan membantu menyelesaikan masalah yang dihadapi rakyat.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN