Ulama perlu ikut nas sahih, bukan ikut selera politik dagang agama - Utusan Malaysia

Ulama perlu ikut nas sahih, bukan ikut selera politik dagang agama

AHMAD ZAHID HAMIDI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, individu bergelar ulama harus mengikut ‘nas’ yang sahih dan bukan memanipulasi hukum mengikut selera politik untuk memperdagang agama demi mencapai objektif siasah. 

Justeru, katanya, UMNO perlu bijaksana mentafsir antara muafakat yang jujur berbanding sebuah muafakat yang terselindung tipu daya.

Beliau berkata, sejarah ketamadunan mengajar bahaya musuh dalam selimut yang licik mengambil kesempatan atas kenaifan melakukan kemusnahan.

“Tiada keberkatan dalam istilah muafakat apabila sebilangannya diselubungi agenda keegoan, kebencian dan kepura-puraan.

“Muafakat biarlah membawa kebaikan kepada semua, bukan untuk dimanipulasi oleh yang berdendam kesumat ke atas UMNO,” katanya dalam satu kenyataan di Facebooknya hari ini. 

Sebelum ini, Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang berkata, parti itu menolak gagasan Muafakat Nasional (MN) kerana UMNO tidak mengikut piagam yang dipersetujui ketika kerjasama dua parti itu dibentuk.

Tambah Abdul Hadi, berdasarkan piagam MN, dua parti itu sedia menerima parti-parti lain termasuk Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

Namun malangnya, apabila sampai peringkat pelaksanaan, kepimpinan UMNO hanya mahu parti itu dan Pas dalam MN.

Dalam pada itu, Ahmad Zahid berkata, UMNO telah berusaha mengekalkan kemuafakatan itu termasuk dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, namun hanya bertepuk sebelah tangan.

“Pimpinan Pas sering menyatakan menyokong MN, tetapi di Melaka menolak pelawaan UMNO dan bergandingan dengan Bersatu  yang diketahui tujuannya untuk menjatuhkan UMNO.

“Namun UMNO menghormati pendirian dan hak pimpinan Pas untuk bersama PN itu kerana inilah sebuah negara demokrasi. Malah UMNO tidak pernah mengarahkan Pas tentang hala tuju politiknya atas semangat kemuafakatan MN yang dimeterai,” jelasnya.

Ahmad Zahid berkata, UMNO  juga tidak pernah mengarahkan Pas tentang hala tuju politiknya atas semangat kemufakatan MN yang dimeterai sebelum ini. – UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya