SHAH ALAM: Universiti Teknologi Mara (UiTM) dijangka mengadakan Pilihan Raya Kampus pada 20 dan 21 Disember ini susulan Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) sesi 2020/2021 dibubarkan berkuat kuasa hari ini.
Pembubaran itu dimaklumkan Naib Canselornya, Prof. Dr. Roziah Mohd. Janor menerusi satu surat kepada Yang Dipertua MPP UiTM, Muhammad Hafizuddin Mohd. Faisal kelmarin.
“Selaras dengan peruntukan bahagian III, Seksyen 9(1) Akta Institusi-Institusi Pelajaran (Tatatertib) 1976, maka dengan kuasa yang diberi saya dengan ini membubarkan MPP UiTM sesi 2020/2021,” katanya.
Menerusi surat sama, beliau turut menzahirkan penghargaan kepada barisan kepimpinan pelajar tersebut kerana meluangkan masa dan tenaga mereka bagi melancarkan aktiviti yang dijalankan universiti.
Menurut Roziah, MPP turut berperanan memberikan sumbang bakti serta mengharumkan nama UiTM di mata rakyat Malaysia.
“Semoga kepimpinan yang saudara dan rakan-rakan seperjuangan tunjukkan itu, memberi inspirasi dan semangat gigih kepada kepada Ahli Majlis yang baharu,” jelasnya.










